
YANGON, 20 Mei – Tentera Myanmar mendakwa berjaya merampas semula sebuah bandar di sempadan Thailand, sekali gus meluaskan kawasan lintasan perdagangan sempadan yang kini dikatakan berada bawah kawalan mereka dalam perang saudara yang berlarutan.
- Serangan balas selama dua minggu menawan semula Mawtaung selepas kehilangan kawalan pada November lalu.
- Operasi melibatkan lebih 200 pertempuran besar dan kecil, dengan sekurang-kurangnya 24 pejuang penentang terbunuh.
- Beberapa anggota tentera turut dilaporkan gugur semasa pertempuran.
- Kejayaan itu meningkatkan moral tentera selepas beberapa kemenangan menentang kumpulan etnik dan gerila prodemokrasi sejak 2021.
Media kerajaan Myanmar melaporkan, tentera kehilangan kawalan ke atas Mawtaung di wilayah Tanintharyi di selatan pada November lalu, tetapi berjaya menawan semula bandar itu pada Selasa, selepas serangan balas selama dua minggu.
Menurut akhbar The Global New Light of Myanmar, serangan balas itu melibatkan lebih 200 pertempuran besar dan kecil, dengan sekurang-kurangnya 24 pejuang penentang terbunuh.
Beberapa anggota tentera turut dilaporkan gugur.
“Aliran perdagangan rentas sempadan dan aktiviti pengangkutan antara kedua-dua negara melalui laluan Tanintharyi-Mawtaung akan dapat disambung semula,” tambah akhbar berkenaan.
Menurut statistik rasmi Myanmar, bandar Mawtaung merupakan pos perdagangan yang agak kecil, dengan nilai dagangan mencecah AS$26.7 juta pada tahun kewangan 2023-24.
Namun, kejayaan menawan semula bandar itu menjadi satu lagi suntikan semangat kepada pihak tentera, susulan beberapa kemenangan mutakhir terhadap kumpulan bersenjata etnik minoriti dan gerila prodemokrasi yang diperangi sejak rampasan kuasa 2021.
Perang saudara terus mencengkam Myanmar sejak rampasan kuasa tentera lima tahun lalu yang menggulingkan kerajaan dipilih rakyat pimpinan Aung San Suu Kyi.
Pada penghujung 2023, serangan besar-besaran gabungan pemberontak meletakkan tentera dalam keadaan tertekan, namun selepas kempen itu mula kehilangan momentum, angkatan tentera kembali mengambil peluang.
Bulan ini, pihak tentera mendakwa berjaya merampas semula lebuh raya utama di utara yang menuju ke sempadan China, manakala pada bulan lalu mereka mengadakan upacara meraikan kejayaan menawan semula jalan menuju lintasan perdagangan paling sibuk dengan Thailand. -AFP