UK tegaskan penyerahan Chagos kekalkan pangkalan tentera bersama AS

Pengkalan tentera Amerika Syarikat di Diego Garcia/AFP

LONDON, 20 Januari – Kerajaan United Kingdom menegaskan perjanjian penyerahan kepulauan Chagos kepada Mauritius akan menjamin operasi pangkalan tentera bersama AS-UK di Diego Garcia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan UK menegaskan penyerahan Chagos akan mengekalkan operasi pangkalan tentera bersama AS di Diego Garcia.
  • Perjanjian dijangka menjamin operasi jangka panjang serta melindungi keupayaan strategik pangkalan.
  • Perjanjian disokong dan disambut baik oleh beberapa sekutu termasuk AS, Australia, India, Jepun dan Korea Selatan.
  • Britain akan menyewa Diego Garcia selama 99 tahun kepada dirinya sendiri, sebagai sebahagian perjanjian dengan Mauritius.

Kenyataan itu hadir susulan kritikan Presiden AS, Donald Trump, terhadap Britain yang melakukan tindakan bodoh berhubung penyerahan pulau berkenaan.

Downing Street menegaskan, perjanjian itu menjamin operasi pangkalan ketenteraan secara jangka panjang selain mengekalkan keupayaan unik pangkalan dan menghalang pengaruh musuh.

Ia turut disambut baik oleh AS, Australia, India, Jepun, Korea Selatan sebelum ini.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, ketika itu berkata perjanjian berkenaan menjamin operasi stabil dan berkesan pangkalan Diego Garcia.

Menteri Kabinet UK, Darren Jones, menambah perjanjian telah ditandatangani dan kini dalam proses akhir di Parlimen.

Britain mengekalkan kawalan Chagos selepas Mauritius merdeka pada 1960-an, tetapi mengusir ribuan penduduk asal yang kemudiannya menuntut pampasan di mahkamah Britain.

Pada 2019, Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengesyorkan Britain menyerahkan kepulauan itu kepada Mauritius.

Di bawah perjanjian itu, Britain akan menyerahkan kepulauan kepada Mauritius tetapi menyewa pulau terbesar, Diego Garcia, selama 99 tahun, dengan bayaran tahunan £101 juta (kira-kira $136 juta), jumlah keseluruhan kira-kira £3.4 bilion termasuk inflasi. -AFP