
WASHINGTON, 6 November – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyalahkan kemenangan besar Parti Demokrat dalam pilihan raya pertengahan penggal pada Selasa lalu sebagai punca kejatuhan mendadak pasaran saham negara itu, semalam.
- Indeks utama AS, terutama saham teknologi, mencatat kejatuhan besar dalam dagangan harian, termasuk Nasdaq, S&P 500 dan Dow Jones.
- Penganalisis mengaitkan jualan panik dengan kebimbangan kawal selia AI dan inisiatif calon yang mahu melambatkan atau menghentikan projek pusat data.
- Tekanan merebak ke pasaran Asia, menekan saham semikonduktor seperti SK hynix, Samsung dan TSMC; pelabur kini menunggu data pekerjaan AS.
Indeks Nasdaq yang didominasi saham teknologi menjunam 5.5 peratus, mencatatkan prestasi harian terburuk sejak April 2025, manakala S&P 500 merosot lebih empat peratus dan Dow Jones susut 3.4 peratus.
“Pasaran saham menjunam hari ini kerana Parti Demokrat mencatat kemenangan besar pada Selasa. Amat menyedihkan, kamu hanya boleh menyalahkan diri sendiri!” kata Trump menerusi hantaran di Truth Social selepas pasaran ditutup.
Bagaimanapun, penganalisis mengaitkan tekanan jualan saham dengan kebimbangan bahawa kemenangan Demokrat boleh membawa kepada kawal selia lebih ketat terhadap industri kecerdasan buatan (AI), khususnya pembangunan pusat data.
Kebimbangan itu meningkat apabila beberapa calon yang memenangi pilihan raya berikrar memperlahankan projek pusat data, selain gesaan Senator AS, Bernie Sanders supaya pembinaannya dihentikan sementara di seluruh negara.
Tekanan pasaran itu turut merebak ke Asia pada Jumaat, dengan saham teknologi dan semikonduktor mengalami penyusutan ketara.
Di Seoul, indeks Kospi menjunam lebih enam peratus pada awal dagangan, manakala saham pengeluar cip SK hynix dan Samsung masing-masing merosot sehingga 10 peratus dan lapan peratus.
Pasaran Tokyo turut terjejas apabila indeks Nikkei 225 susut sekitar enam peratus, sementara indeks Taiex di Taiwan merosot kira-kira lapan peratus susulan kejatuhan saham syarikat semikonduktor TSMC.
Penganalisis Saxo Markets, Neil Wilson menyifatkan tekanan jualan itu sebagai reaksi pasaran yang mungkin keterlaluan, namun berkata pelabur masih menunggu keadaan kembali stabil.
Selain kebimbangan terhadap dasar AI, sentimen pelabur turut dipengaruhi persoalan mengenai pulangan pelaburan besar dalam sektor berkenaan serta kenaikan kos pinjaman.
Pelabur kini memantau perkembangan pasaran dan data pekerjaan AS yang dijadualkan diumumkan hari ini bagi mendapatkan petunjuk lanjut mengenai hala tuju ekonomi. – AFP