Perancis kerah 70,000 anggota keselamatan kawal protes

Penunjuk perasaan di Place de la Nation ketika menyertai demonstrasi sempena gerakan bantahan di seluruh Perancis/ AFP

PARIS, 7 November – Perancis mengerahkan 70,000 anggota polis dan pasukan polis tentera di seluruh negara pada Sabtu sebagai persediaan menghadapi gelombang baharu demonstrasi di negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kesatuan sekerja, pelajar dan Gerakan Jaket Kuning merancang protes berasingan meskipun larangan pihak berkuasa.
  • Kritikan terhadap keganasan polis meningkat, puluhan siasatan dalaman dan banyak wartawan dihalang semasa liputan.
  • Kesatuan menuntut kenaikan gaji, pembaharuan cukai dan tindakan kerajaan; Perdana Menteri dijangka mengadakan rundingan.

Kesatuan sekerja Perancis dan kumpulan pelajar dijangka kembali mengadakan demonstrasi pada Sabtu, manakala Gerakan Jaket Kuning merancang mengadakan perhimpunan berasingan di tengah Paris meskipun pihak berkuasa melarang himpunan berkenaan.

Demonstrasi itu menyusul beberapa minggu ketegangan yang diterajui golongan muda serta mogok di seluruh negara, membabitkan ratusan ribu pekerja yang membantah peningkatan kos sara hidup.

Perkembangan itu berlaku kurang enam bulan sebelum pengundi memilih ketua negara baharu bagi menggantikan Presiden Emmanuel Macron, dengan calon berhaluan kanan jauh mendahului tinjauan pendapat.

Kumpulan pelajar dan kesatuan sekerja menggesa supaya satu perarakan yang mendapat kebenaran diadakan di tengah Paris bagi menyuarakan bantahan terhadap peningkatan kos sara hidup serta menyatakan sokongan kepada golongan muda.

Bagaimanapun, aktivis Gerakan Jaket Kuning enggan menyertai perarakan itu dan sebaliknya menggesa penyokong mengadakan perhimpunan berasingan di Place de la Concorde, berhampiran bangunan Dewan Rendah Parlimen dan istana presiden, meskipun pihak berkuasa melarang sebarang demonstrasi di kawasan berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Laurent Nunez berkata, seramai 70,000 anggota polis dan pasukan keselamatan akan digerakkan di seluruh negara.

“Jika terdapat perusuh atau individu yang melakukan penjarahan… kami sudah bersedia dan menunggu mereka,” katanya.

Kebanyakan demonstrasi sebelum ini berlangsung secara aman, namun beberapa insiden pertempuran dengan polis dan perbuatan vandalisme turut berlaku di pinggir perhimpunan, termasuk pada 17 Oktober lalu apabila Perancis menyaksikan rusuhan terburuk dalam tempoh beberapa tahun.

Pada Khamis, ratusan ribu pekerja yang menyertai mogok berhimpun di seluruh Perancis dalam demonstrasi yang kebanyakannya berlangsung secara teratur, meskipun pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis tercetus di beberapa bandar.

Gerakan Jaket Kuning yang mula mendapat sokongan meluas lapan tahun lalu menerusi demonstrasi besar-besaran di peringkat akar umbi bagi membantah rancangan kerajaan Macron menaikkan cukai bahan api, bertegas mahu meneruskan perhimpunan yang telah dilarang pihak berkuasa.

“Kami menggesa supaya keingkaran beramai-ramai dilakukan,” kata anggota jawatankuasa penyelaras gerakan itu Benjamin Ball.

Pihak berkuasa bertekad mengelakkan kejadian rusuhan dan penjarahan seperti yang mencemari demonstrasi pada 17 Oktober lalu, meskipun Kementerian Dalam Negeri menyifatkan demonstrasi Khamis lalu secara keseluruhannya berlangsung dengan baik, dengan 642 individu ditahan.

Dalam perkembangan berkaitan, tindakan polis turut berdepan kritikan kerana didakwa menggunakan kekerasan secara berlebihan, sehingga puluhan siasatan dalaman dilancarkan berhubung dakwaan kekerasan terhadap penunjuk perasaan.

Susulan beberapa insiden yang didakwa membabitkan kekerasan polis terhadap wartawan ketika membuat liputan demonstrasi, agensi berita antarabangsa itu pada Jumaat menggesa supaya keselamatan wartawannya dilindungi.

Badan pemantau kebebasan media, Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) berkata, pihaknya merekodkan 40 kes wartawan dihalang anggota pasukan keselamatan daripada membuat liputan demonstrasi, termasuk 21 kes yang membabitkan keganasan fizikal.

Kerajaan Macron kini berdepan tekanan untuk mencari penyelesaian terhadap gelombang demonstrasi itu ketika tempoh kepresidenannya bakal berakhir pada Mei 2027.

Perdana Menteri, Sebastien Lecornu dijadual mengadakan perbincangan mengenai isu gaji dan kuasa beli bersama wakil kesatuan sekerja serta pertubuhan majikan pada Isnin.

“Satu-satunya perkara yang mampu menamatkan demonstrasi ini ialah tindakan memenuhi tuntutan yang telah dikemukakan sejak beberapa minggu lalu oleh golongan pekerja, penjawat awam, golongan muda dan pesara,” menurut gabungan kesatuan sekerja dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kesatuan sekerja menuntut kenaikan gaji minimum yang tidak menerima sebarang kenaikan tambahan atas budi bicara kerajaan sejak 2012, pelarasan gaji secara menyeluruh, pembaharuan sistem percukaian serta penambahbaikan keadaan pembelajaran golongan muda.

Namun, ekonomi kedua terbesar Kesatuan Eropah (EU) berdepan tekanan untuk mengawal paras hutang negara, menyebabkan ruang kerajaan untuk memenuhi tuntutan penunjuk perasaan kekal terhad.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.