Dua panda gergasi curi tumpuan pengunjung Zoo Atlanta

Penampilan sulung dua ekor panda gergasi di Zoo Atlanta/ AFP

ATLANTA, 7 November – Dua ekor panda gergasi, Ping Ping dan Fu Shuang menceriakan pengunjung Zoo Atlanta di sini ketika membuat penampilan sulung kepada orang ramai pada Jumaat, dengan aksi mengunyah buluh dan bersantai di habitat baharu mereka di Amerika Syarikat (AS).

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua panda dipinjam dari China untuk tempoh 10 tahun, tiba dari Chengdu pada September.
  • Zoo Atlanta menaik taraf kemudahan panda, membentuk pasukan penjagaan, dan memastikan bekalan buluh melalui tanaman tempatan.
  • Kehadiran panda digunakan dalam diplomasi China, menjadi simbol kuasa lembut sewaktu perbincangan perdagangan AS dan China.

Kedua-dua panda itu dipinjamkan dari China untuk tempoh 10 tahun. Panda jantan bernama Ping Ping dan panda betina, Fu Shuang tiba dari Chengdu pada September menerusi penerbangan FedEx yang digelar “Panda Express”.

Ketua Pegawai Eksekutif Zoo Atlanta, Raymond King berkata, panda merupakan haiwan istimewa yang mampu mencetuskan rasa ingin tahu, menyemarakkan minat, membawa kegembiraan serta menyatukan masyarakat di seluruh dunia.

“Semangat kerjasama luar biasa ini membantu membentuk masa depan bagi spesies yang amat disayangi di seluruh dunia,” katanya ketika berucap kepada pengunjung zoo berkenaan.

Sebagai persiapan menyambut ketibaan kedua-dua panda itu, Zoo Atlanta telah menaik taraf kemudahan khas panda serta membentuk pasukan penjagaan haiwan.

Zoo berkenaan turut memastikan bekalan buluh yang stabil untuk jangka panjang menerusi tanaman tempatan di Atlanta, yang mempunyai iklim hampir sama dengan Chengdu.

Seorang pengunjung, Rachel Totts berkata, panda mempunyai keistimewaan tersendiri dalam menceriakan orang ramai.

“Saya rasa panda mampu mencetuskan kegembiraan. Haiwan ini membuatkan orang tersenyum. Saya tidak pernah melihat sesiapa yang tidak berkata ‘Oh, comelnya!’ ketika melihat panda,” katanya kepada AFP pada Jumaat.

Berasal dari habitat hutan sederhana di Asia Timur, mamalia berbulu hitam putih yang bergerak perlahan itu lazimnya tidak merentasi jarak jauh di habitat semula jadi.

Bagaimanapun, banyak panda dihantar ke zoo di seluruh dunia sebagai sebahagian daripada program “diplomasi panda” Beijing yang berlangsung sejak beberapa dekad lalu bagi mengeratkan hubungan dengan negara lain.

Penampilan dua haiwan berbulu itu sebagai simbol “kuasa lembut” China berlaku ketika pegawai kanan AS pada Jumaat menggesa Beijing supaya mematuhi perjanjian perdagangan yang dimeterai dalam pertemuan Presiden AS, Donald Trump dengan Presiden China, Xi Jinping pada Oktober 2025.

Perjanjian itu meredakan ketegangan susulan beberapa siri kenaikan tarif perdagangan dan mewajibkan China membeli kacang soya dari AS, selain menggantung kawalan eksport unsur nadir bumi.

Sebelum 2016, panda dikategorikan sebagai spesies terancam, namun kini disenaraikan sebagai spesies “terdedah” oleh badan pemuliharaan hidupan liar.

Dianggarkan kira-kira 1,800 ekor panda hidup di habitat liar. Kerajaan China telah mewujudkan lebih 50 kawasan perlindungan panda bagi tujuan pemuliharaan, namun haiwan itu masih berdepan ancaman kehilangan habitat dan pemburuan haram di habitat semula jadi.

Zoo Atlanta sebelum ini pernah menerima panda dari China menerusi program pinjaman bermula 1999, dengan tujuh anak panda dilahirkan di zoo berkenaan.

Kesemua panda itu kini telah dikembalikan ke Chengdu, manakala Zoo Atlanta tidak mempunyai panda sejak 2024.

John Perez, penduduk asal Atlanta yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-28 di Zoo Atlanta pada Jumaat berkata, kehadiran panda itu mendorongnya mengunjungi zoo berkenaan buat kali pertama.

Kedua-dua panda yang baharu tiba itu dilahirkan pada 2020 dan diharapkan sesuai untuk dipasangkan sebagai pasangan pembiakan.

Panda yang hidup dalam kurungan lazimnya mampu mencapai usia kira-kira 30 tahun.

Pada 1972, China menghadiahkan sepasang panda kepada Washington susulan lawatan bersejarah Presiden AS ketika itu, Richard Nixon ke negara berkenaan.

Beijing turut memanggil pulang dua ekor panda dari Jepun pada awal tahun ini susulan pertikaian diplomatik yang tercetus selepas Perdana Menteri Jepun memberi bayangan kemungkinan Tokyo campur tangan secara ketenteraan sekiranya berlaku serangan terhadap Taiwan.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.