Australia kerah pesawat tentera bantu padam kebakaran hutan Indonesia

Foto AFP

JAKARTA, 6 November – Australia mengerahkan pesawat pengangkut C-130 Hercules milik tenteranya bagi membantu operasi memadam kebakaran hutan di Kalimantan Timur, Indonesia yang telah menyebabkan jerebu merentas sempadan dan menjejaskan kesihatan penduduk.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi bantuan dijadual selama tujuh hari bermula hari ini hingga 12 November.
  • Pesawat pemadaman mampu menggugurkan sehingga 15,000 liter air setiap penerbangan, kapasiti melebihi 100,000 liter sehari.
  • Kebakaran menyebabkan lebih 400,000 rawatan masalah pernafasan akut dan mengakibatkan kemusnahan sekitar 1.9 juta hektar; banyak punca dari tebang dan bakar.

Operasi bantuan itu dijadual berlangsung selama tujuh hari, bermula hari ini hingga 12 November.

Menurut Kedutaan Australia di Indonesia, pesawat C-130 Hercules berkenaan mampu menggugurkan sehingga 15,000 liter air bagi setiap penerbangan operasi, dengan kapasiti melebihi 100,000 liter sehari.

Australia turut menghantar sebuah pesawat Cessna Citation sebagai pesawat panduan bersama 20 anggota, termasuk juruterbang, kru penerbangan dan paramedik.

Menurut agensi pengurusan bencana Indonesia, pesawat berkenaan berlepas dari Jakarta menuju ke Kalimantan Timur bagi menjalankan operasi pemadaman melalui kaedah pengeboman air.

Ketua agensi itu, Kristomei Sianturi berkata, operasi berkenaan memberi tumpuan kepada kawasan yang masih mencatatkan banyak titik panas berdasarkan pemantauan bersama pasukan teknikal Australia.

“Berdasarkan pemantauan dan pemerhatian kami, serta perbincangan dengan pasukan teknikal Australia, masih terdapat banyak titik panas di wilayah Kalimantan Timur,” katanya dalam satu kenyataan.

Kebakaran yang berlarutan selama beberapa bulan itu menyebabkan lebih 400,000 penduduk Indonesia menerima rawatan akibat masalah pernafasan akut, manakala lebih 1.9 juta hektar tanah dianggarkan musnah dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Sementara itu, pakar mengaitkan sebahagian besar kebakaran dengan amalan tebang dan bakar bagi membuka kawasan pembalakan, perladangan kelapa sawit serta perlombongan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.