AS sekat 41 syarikat, lima individu berkait penipuan siber

Foto AFP

PHNOM PENH, 6 November – Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan baharu terhadap 41 syarikat dan lima individu yang didakwa terlibat dalam rangkaian penipuan siber di Kemboja serta Madagascar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Prince Group dituduh mengendalikan operasi penipuan bernilai berbilion dolar, kata Jabatan Perbendaharaan.
  • Rangkaian menggunakan teknologi digital dan mata wang kripto untuk memperdaya rakyat Amerika, menyebabkan kerugian melebihi AS$400,000.
  • Qiu Yong dituduh menguruskan syarikat di Kepulauan Virgin British dan Hong Kong serta membantu pengubahan wang haram melalui pinjaman.
  • Pengasas Chen Zhi diekstradisi ke China; pihak berkuasa menahan beberapa pemimpin dan membekukan aset bernilai hampir AS$1 bilion.

Jabatan Perbendaharaan AS, semalam, mengumumkan sekatan terhadap empat individu dan 41 syarikat yang mempunyai kaitan dengan Prince Group, sebuah konglomerat berpangkalan di Kemboja yang dituduh mengendalikan operasi penipuan bernilai berbilion dolar.

Seorang lagi individu dikenakan sekatan ialah rakyat Malaysia, Chui Kok Wa yang didakwa mengetuai rangkaian penipuan siber di Madagascar.

Menurut jabatan itu, rangkaian berkenaan menggunakan teknologi digital dan mata wang kripto untuk memperdaya rakyat Amerika sehingga mengalami kerugian melebihi AS$400,000.

Sementara itu, antara individu yang dikaitkan dengan Prince Group ialah Qiu Yong, pegawai kanan kumpulan berkenaan yang didakwa menguruskan beberapa syarikat di Kepulauan Virgin British serta rangkaian firma di Hong Kong.

Qiu turut dituduh membantu mengubah wang hasil kegiatan haram melalui perkhidmatan pinjaman wang dan pelbagai urusan perniagaan.

Pengasas Prince Group, Chen Zhi sebelum ini diekstradisi dari Kemboja ke China pada Januari lalu selepas konglomerat itu dikenakan sekatan oleh AS dan Britain.

Pihak berkuasa Kemboja memaklumkan Chen merupakan antara sekurang-kurangnya enam individu utama kumpulan itu yang ditahan, selain pembekuan aset termasuk kasino, bangunan dan hartanah bernilai hampir AS$1 bilion.

Bagaimanapun, Prince Group sebelum ini menafikan sebarang pembabitan dalam kegiatan penipuan siber.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent berkata, sindiket berkenaan terus menyebabkan kerugian berbilion dolar kepada mangsa di Amerika.

“Jabatan Perbendaharaan komited untuk melumpuhkan setiap lapisan organisasi ini, daripada kepimpinan hingga struktur korporat dan pihak yang memudahkan urusan kewangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet sebelum ini menegaskan negaranya tidak akan menjadi tempat perlindungan kepada sindiket penipuan siber, susulan tekanan antarabangsa supaya kegiatan berkenaan dibanteras. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.