
TOKYO, 6 November – Kerajaan China mengambil langkah menyokong sektor teknologi negara itu susulan kejatuhan ketara harga saham beberapa syarikat teknologi, dengan kecerdasan buatan (AI) dilihat sebagai antara keutamaan strategik utama negara berkenaan.
- Harga saham beberapa syarikat teknologi China merosot ketara, termasuk Unitree, Moore Threads dan MetaX, jatuh sekitar 40 hingga 50 peratus.
- Pihak berkuasa mengaktifkan suntikan kecairan dan meningkatkan dagangan dana disokong kerajaan, dengan aliran masuk besar ke dalam beberapa ETF teknologi.
- Pengawal selia arahkan bank hentikan sementara penyenaraian syarikat; penganalisis kata sokongan mungkin tidak cukup terhadap kelemahan domestik.
Pada Ogos lalu, syarikat pemula teknologi China, Unitree, yang terkenal dengan pembangunan robot humanoid berkeupayaan berjalan dan menari, disenaraikan di pasaran saham.
Harga saham syarikat itu melonjak pada hari pertama dagangan di Bursa Saham Shanghai, namun hampir tiga bulan kemudian, nilainya susut 40 peratus berbanding paras tertinggi yang dicatatkan pada hari berkenaan.
Situasi sama turut melanda pengeluar cip China, Moore Threads dan MetaX, yang dianggap sebagai pencabar kepada syarikat gergasi semikonduktor Amerika Syarikat (AS), Nvidia.
Kedua-dua syarikat itu masing-masing mencatatkan kejatuhan harga saham kira-kira 50 peratus dalam tempoh enam bulan lalu.
Penurunan ketara turut direkodkan merentasi indeks Star50 Shanghai, yang menjadi penanda aras sektor teknologi China dan sering disamakan dengan indeks Nasdaq di Wall Street, Amerika Syarikat. Indeks itu susut kira-kira enam peratus dalam tempoh sama.
Ketidaktentuan pasaran saham Wall Street turut memberi kesan apabila indeks Nasdaq merosot 5.5 peratus pada Khamis, susulan kebimbangan bahawa perbelanjaan besar bagi pembangunan infrastruktur AI mungkin tidak menghasilkan pulangan keuntungan yang dijangkakan.
Bagaimanapun, kerajaan China mula mengambil beberapa langkah bagi menyokong pasaran berkenaan.
Menurut laporan media tempatan, pihak berkuasa negara itu mengaktifkan semula instrumen suntikan kecairan minggu ini bagi menggalakkan pembelian saham, selain meningkatkan jumlah dagangan dana pelaburan yang disokong kerajaan.
Pada Selasa, aliran masuk modal bersih ke dalam sembilan dana dagangan bursa (ETF), yang lazim digunakan Beijing untuk menyokong pasaran saham, mencecah 120 bilion yuan (AS$18 bilion).
Menurut data Bloomberg, jumlah itu hampir menyamai rekod tertinggi, dengan sebahagian besar pelaburan disalurkan kepada saham teknologi.
Financial Times turut melaporkan minggu ini bahawa pengawal selia China mengarahkan bank menghentikan sementara penyenaraian syarikat di pasaran saham bagi meningkatkan kecairan pasaran.
Ketua Strategi Pelaburan Saxo Markets, Charu Chanana berkata, saham teknologi China berdepan tekanan ketara susulan kebimbangan pelabur terhadap permintaan domestik yang lemah, persaingan sengit dan prestasi pendapatan syarikat yang mengecewakan.
Bagaimanapun, katanya, sokongan dasar baharu kerajaan, penilaian saham yang lebih rendah serta harapan terhadap pemulihan sentimen pasaran mula menarik semula minat pelabur terhadap sektor yang berdepan kesukaran sepanjang tahun ini.
Secara keseluruhan, keyakinan pelabur terhadap sektor teknologi China masih kekal positif, kata rakan kongsi firma pelaburan berpangkalan di Shanghai, Kunquan, Ajin Jin.
Menurutnya, sesi pembentangan pelaburan mingguan masih berlangsung di Beijing dan Shanghai dengan kehadiran peserta yang memberangsangkan sehingga memenuhi ruang yang disediakan.
Tokoh pelaburan China, Li Daxiao pula berkata, perkembangan pesat industri teknologi tidak dapat dibendung dan perlu dibezakan daripada turun naik harga saham.
“Saham teknologi turut terjejas akibat risiko luaran, sekali gus mencatatkan penurunan seiring saham sektor sama di Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan,” katanya.
Sementara itu, Stephen Inness daripada SPI Asset Management berkata, usaha sokongan kerajaan dijangka melengkapkan langkah yang diambil China bulan lalu bagi menstabilkan pasaran ekuitinya.
“Langkah berkenaan setakat ini masih belum mencukupi untuk mengatasi kelemahan ekonomi domestik serta keraguan terhadap potensi keuntungan daripada pembangunan AI,” katanya.- AFP