Trump jemput Putin sertai Lembaga Keamanan, ugut tarif 200 peratus ke atas wain Perancis

FOTO REUTERS

WASHINGTON, 20 Januari – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengesahkan beliau telah menjemput Presiden Russia, Vladimir Putin, untuk menyertai “Lembaga Keamanan” yang dicadangkannya, satu langkah yang mencetuskan reaksi antarabangsa termasuk ugutan tarif tinggi terhadap Perancis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump mengesahkan jemputan kepada Putin untuk sertai Lembaga Keamanan yang dicadangkan.
  • Trump mengugut mengenakan tarif sehingga 200 peratus ke atas wain dan champagne Perancis.
  • Perancis menolak jemputan, menyatakan piagam lembaga melangkaui fokus Gaza sahaja.

“Ya, beliau (Putin) telah dijemput,” kata Trump kepada wartawan di Florida.

Trump turut mengancam untuk mengenakan tarif sehingga 200 peratus ke atas wain dan champagne Perancis susulan hasrat negara itu untuk menolak jemputan menyertai lembaga berkenaan.

Lembaga Keamanan tersebut pada asalnya dicadangkan bagi menyelia usaha pembinaan semula Gaza pascaperang, namun piagam penubuhannya dilaporkan tidak mengehadkan peranan hanya kepada wilayah Palestin yang diduduki.

“Saya akan kenakan tarif 200 peratus ke atas wain dan champagnenya. Dan dia akan sertai. Tetapi dia tidak wajib menyertai,” kata Trump, merujuk kepada Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

Sumber yang rapat dengan Presiden Macron memberitahu AFP, Perancis tidak berhasrat untuk memberikan maklum balas positif terhadap jemputan tersebut, dengan menyatakan piagam lembaga itu melangkaui kerangka Gaza semata-mata”.-AFP