Todd Blanche dilantik Peguam Negara AS ke-88

Foto REUTERS

NEW YORK, 8 Ogos – Todd Blanche menyuarakan rasa amat terharu dan berbangga atas kepercayaan yang diberikan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump serta Senat AS selepas pengesahan pelantikannya sebagai Peguam Negara AS yang ke-88 menerusi pengundian sengit pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengesahan di Senat mengesahkan Blanche sebagai Peguam Negara AS selepas undian 50-49 lewat malam.
  • Dua Senator Republikan, Susan Collins dan Lisa Murkowski, menyertai Demokrat menentang pelantikan beliau.
  • Senator Bill Cassidy mengumumkan sokongan yang menjadi penentu kemenangan pelantikan.
  • Sebelum pengesahan, Blanche bertugas sebagai Pemangku Peguam Negara sejak April, mengendalikan operasi harian DOJ.

Blanche disahkan memegang jawatan nombor satu Jabatan Keadilan AS (DOJ) itu selepas memperoleh sokongan 50-49 dalam sesi pengundian Senat yang berlarutan hingga lewat malam.

“Saya amat terharu dengan kepercayaan dan keyakinan yang diletakkan oleh Presiden Trump untuk saya memimpin DOJ sebagai Peguam Negara ke-88, negara kita yang hebat ini.

“Saya juga berterima kasih kepada pihak Senat kerana bersengkang mata hingga lewat malam bagi menyelesaikan proses pelantikan ini,” katanya menerusi hantaran di media sosial pada Sabtu.

Pelantikan Blanche diluluskan menerusi margin keputusan yang sangat tipis, selepas dua Senator Republikan iaitu Susan Collins dan Lisa Murkowski bertindak menyertai kem Demokrat untuk menentang pelantikan beliau.

Senator Bill Cassidy tampil sebagai penentu kemenangan selepas mengumumkan sokongannya pada Jumaat, dengan menyatakan bahawa Blanche merupakan pilihan terbaik yang dikemukakan oleh Trump untuk menerajui DOJ.

Pengesahan berkenaan mengakhiri penentangan berlarutan selama beberapa minggu antara Senator Republikan dan pentadbiran Trump mengenai isu kebebasan serta berkecuali Blanche.

Sebelum pengesahan rasmi itu, Blanche bertindak sebagai Pemangku Peguam Negara sejak April lalu dan mengendalikan operasi harian DOJ selaku pegawai nombor dua tertinggi agensi berkenaan. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.