
KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Kejohanan golf wanita tempatan, The Ladies, kembali buat kali kedua dengan menyasarkan visi menjadi antara kejohanan wanita berprestij di rantau ini, sebelum melangkah ke pentas antarabangsa..
- Visi membangunkan kejohanan golf wanita bertaraf tinggi dari Malaysia, membina identiti dan reputasi sehingga diiktiraf di peringkat antarabangsa.
- Menjadi platform memberi peluang kompetitif, pendedahan dan laluan jelas untuk pemain wanita tempatan melangkah dari peringkat junior dan amatur ke profesional.
- Menawarkan hadiah wang tunai RM100,000 dan mensasarkan penyertaan lebih kukuh dari pemain tempatan, serantau dan antarabangsa untuk mengukuh nama The Ladies.
Kejohanan yang akan berlangsung di Kelab Golf The Mines dari 1 hingga 3 Oktober itu menawarkan jumlah hadiah wang tunai RM100,000.
Pengasas Kelab Golf The Mines, Tan Sri Lee Kim Yew berkata, The Ladies bukan sekadar medan pertandingan, sebaliknya merupakan usaha jangka panjang untuk membangunkan kejohanan golf wanita bertaraf tinggi yang berasal dari Malaysia.
Beliau berkata, penganjuran itu diharap dapat membina identiti dan reputasi tersendiri sehingga The Ladies mampu menjadi kejohanan golf wanita yang dikenali di peringkat antarabangsa.
“Jika Barat ada kejohanan yang sangat terkenal dipanggil The Masters. Kami berharap satu hari nanti, di Timur pula, dari Malaysia, ada kejohanan yang sangat terkenal dipanggil The Ladies. Itulah visi kami,” katanya.
Seiring aspirasi itu, kejohanan berkenaan turut diwujudkan bagi menyediakan lebih banyak peluang kompetitif, pendedahan dan laluan yang lebih jelas kepada pemain golf wanita tempatan untuk membina kerjaya secara profesional.
Usaha itu juga menyasarkan ‘The Ladies’ menjadi jambatan yang menghubungkan pemain di peringkat junior dan amatur ke arena profesional, sekali gus menarik lebih ramai wanita menyertai sukan golf.
Menerusi mesej “IT COULD BE YOU”, kejohanan itu turut membawa aspirasi untuk meningkatkan keyakinan pemain muda bahawa mereka mempunyai peluang untuk bersaing dan muncul sebagai juara.
Penganjuran kali kedua itu meneruskan legasi Kelab Golf The Mines dalam pembangunan golf wanita, selepas kelab berkenaan pernah menjadi tuan rumah Piala Dunia Golf Wanita pada 2000.
Pada edisi sulung tahun lalu, pemain golf Liyana Durisic mencipta sejarah apabila muncul juara pertama selepas mencatat keseluruhan dua bawah par dalam saingan 54 lubang.
Beliau membawa pulang hadiah utama RM17,500, manakala Jocelyn Chee dan Ng Jing Xuen masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Bagi edisi tahun ini, penganjur menyasarkan penyertaan yang lebih kukuh, bukan sahaja daripada pemain tempatan, malah dari peringkat serantau dan antarabangsa bagi mengukuhkan kedudukan The Ladies sebagai kejohanan tahunan.
Menerusi mesej “IT COULD BE YOU”, kejohanan itu turut membawa aspirasi untuk memberi keyakinan kepada pemain muda dan wanita bahawa mereka juga berpeluang muncul juara.
Dalam perkembangan berkaitan, seramai 80 pemain profesional lelaki dan wanita serta pemain amatur negara baru-baru ini mengambil bahagian dalam aksi pro-am sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-71 Lee Kim Yew.
Antara yang turut menyertai aksi itu ialah Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri; Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor dan Pengurus Besar Profesional Golf Malaysia (PGM), Nik Mustapha Nik Mohamed.