
OTTAWA, 24 Ogos – Kanada menolak cadangan perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) susulan beberapa tuntutan pada saat akhir daripada Washington yang disifatkan sebagai berat sebelah.
- AS mengenakan tarif 50 peratus ke atas kira-kira AS$20 bilion barangan Kanada selepas rundingan gagal.
- Tuntutan AS yang dipertikaikan meliputi sektor automotif, keluli, perhutanan, produk tenusu dan dasar perolehan kerajaan.
- Kanada tidak bersedia kompromi mengenai perlindungan bahasa Perancis dan budaya Quebec yang terancam.
- Ketegangan mengugat hubungan dagang kedua negara dan menimbulkan persoalan terhadap masa depan USMCA.
Perdana Menteri Kanada Mark Carney selepas menggantung rundingan perdagangan dengan Washington, kemudiannya mengumumkan tarif balas terhadap AS, berkuat kuasa 8 September ini.
Sekali gus mencetus ketegangan baharu antara dua sekutu lama itu.
“Perubahan pada saat akhir terhadap syarat yang dicadangkan AS adalah tidak adil, tidak menguntungkan dan menimbulkan persoalan mengenai kebolehpercayaan sebarang perjanjian,” katanya.
Rundingan yang berlangsung di Washington pada Jumaat gagal mencapai persetujuan, menyebabkan tarif baharu AS sebanyak 50 peratus ke atas barangan Kanada berkuat kuasa, melibatkan barangan bernilai kira-kira AS$20 bilion (RM84 bilion) atau 5.5 peratus daripada eksport Kanada ke AS.
“Kami tidak boleh menerima apa yang mereka tawarkan dan kami tidak akan memberikan apa yang mereka minta,” katanya dalam ucapan di Ottawa pada Sabtu.
Antara isu yang menjadi pertikaian, berkaitan tuntutan AS supaya Kanada mengenakan sekatan terhadap perjanjian perdagangan dengan negara lain, selain beberapa permintaan berkaitan sektor automotif, keluli, perhutanan, produk tenusu dan dasar perolehan kerajaan.
Carney turut berkata Kanada tidak bersedia berkompromi mengenai perlindungan bahasa Perancis dan budaya Quebec, selepas perunding AS didakwa mengemukakan tuntutan berkaitan perkara berkenaan.
Dalam sektor keluli, The Globe and Mail yang memetik sumber tidak dinamakan melaporkan AS mahu Kanada menerima kuota eksport empat juta tan, dengan tarif 25 peratus dikenakan terhadap jumlah dalam kuota dan kadar lebih tinggi bagi eksport melebihi had berkenaan.
Bagi sektor automotif pula, perunding AS dilaporkan mahu hanya kandungan buatan Amerika Syarikat dikecualikan daripada duti, selain menuntut Kanada menarik balik semua tindakan balas terhadap keluli dan kenderaan AS.
Washington turut mendesak kerajaan wilayah Kanada menghentikan sekatan terhadap produk alkohol AS, manakala sektor perhutanan pula tidak dimasukkan dalam cadangan perjanjian AS walaupun Kanada mahu sektor itu dilindungi.
Selain itu, AS dilaporkan mahu perubahan terhadap sistem pengurusan bekalan tenusu Kanada dan menghentikan amalan perolehan “Buy Canadian” oleh kerajaan wilayah.
Di Quebec, tuntutan berkaitan undang-undang perlindungan bahasa Perancis dan budaya tempatan turut menjadi antara isu yang tidak dapat diterima Kanada.
Rundingan di Washington akhirnya gagal mencapai persetujuan pada Jumaat, menyebabkan tarif baharu AS sebanyak 50 peratus terhadap kira-kira AS$20 bilion barangan Kanada berkuat kuasa.
Antara produk yang terjejas termasuk peralatan hoki, makanan, barangan pengguna dan simen.
Sementara itu, Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer menafikan bahawa Washington gagal memberikan tawaran yang munasabah kepada Kanada.
Beliau berkata AS sebelum ini menawarkan pengurangan tarif terhadap keluli, aluminium dan kenderaan, selain menghapuskan tarif baharu ke atas kayu Kanada.
Greer turut menuduh Ottawa mengubah pendirian dalam rundingan dan berkata Washington akan meneruskan langkah sebagai tindak balas terhadap tarif balas Kanada.
Presiden AS Donald Trump pula membidas Kanada menerusi platform Truth Social pada Ahad, dengan mendakwa negara itu mahu mendapat manfaat seperti sebuah negeri AS tanpa menjadi sebahagian daripada Amerika Syarikat.
Trump turut menuduh Kanada mengenakan tarif tinggi terhadap petani AS selama bertahun-tahun.
Ketegangan terbaharu itu meningkatkan tekanan terhadap hubungan perdagangan antara kedua-dua sekutu lama berkenaan, selain menimbulkan persoalan terhadap masa depan Perjanjian Perdagangan Amerika Syarikat-Mexico-Kanada (USMCA).
Kanada sebelum ini berusaha mendapatkan pengurangan tarif AS terhadap sektor automotif, keluli dan aluminium yang memberi tekanan kepada ekonomi negara itu.
Kegagalan rundingan turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan anggota Kongres dan gabenor beberapa negeri AS yang mempunyai hubungan perdagangan rapat dengan Kanada, termasuk Minnesota, New York dan Washington, berhubung kemungkinan kenaikan kos kepada perniagaan dan pengguna.
Carney sebelum ini berkata Kanada bersedia mempelbagaikan hubungan perdagangan dengan negara lain bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran AS, sambil menegaskan Ottawa tidak akan mengorbankan kepentingan ekonomi dan kedaulatannya untuk mencapai perjanjian perdagangan.
Tarif baharu Kanada dijangka menyasarkan khususnya industri keluli dan produk tenusu AS, manakala butiran lanjut mengenai langkah berkenaan akan diumumkan minggu depan.
Carney berkata rundingan yang sebelum ini menunjukkan perkembangan positif terhenti selepas AS mengemukakan syarat baharu yang disifatkannya tidak menguntungkan dari segi ekonomi dan tidak adil.
“Dalam beberapa hari kebelakangan ini, Amerika Syarikat mencadangkan terma baharu yang tidak menguntungkan dari segi ekonomi, tidak adil dan menjejaskan manfaat bersih untuk Kanada, selain menimbulkan persoalan mengenai kebolehpercayaan sebarang perjanjian,” katanya di Ottawa.
“Kami tidak boleh menerima apa yang mereka tawarkan dan kami tidak akan memberikan apa yang mereka minta.”
Beliau turut mendakwa perunding AS mengemukakan “ancaman” yang tidak boleh diterima terhadap bahasa Perancis dan budaya Quebec, sebuah wilayah berbahasa Perancis di timur Kanada.
Kegagalan rundingan perdagangan itu menandakan hubungan antara kedua-dua sekutu lama dan rakan dagang utama tersebut semakin merosot, selain merumitkan masa depan pakatan perdagangan bebas Amerika Syarikat-Mexico-Kanada (USMCA). – AFP