
KOTA KINABALU, 24 Ogos – Impian Sabah FA untuk melangkah ke pusingan seterusnya pada saingan AFC Women’s Champions League 2026/27 tidak kesampaian selepas tewas 0-2 kepada East Bengal FC dalam aksi terakhir di Stadium Likas, malam tadi (Ahad).
- Ketua jurulatih Sabah mengakui pasukan lawan lebih baik walaupun Sabah mencipta beberapa peluang.
- Sabah tampil lebih agresif pada separuh masa pertama tetapi pertahanan lawan berjaya mengekang asakan.
- Ketua jurulatih pihak lawan puji disiplin dan pematuhan taktikal pemain sebagai kunci mengekang ancaman Sabah.
Kekalahan itu menyaksikan East Bengal FC mengesahkan kemaraan selepas meraih kemenangan di gelanggang lawan.
Ketua Jurulatih Sabah FA, Bobby Gonzales mengakui East Bengal FC merupakan pasukan lebih baik dalam perlawanan berkenaan, meskipun anak buahnya turut mencipta beberapa peluang terbaik bagi menjaringkan gol.
“Memang kita kecewa kerana tidak layak dan kalah. Tetapi bagi saya, kita kalah dengan pasukan yang lebih baik daripada kita.
“Bukan kita tidak bermain dengan baik, tetapi mereka lebih baik. Kita ada peluang tetapi tidak menyudahkannya, manakala mereka mengambil peluang dan berjaya menjaringkan gol,” katanya.
Dalam perlawanan itu, Sabah FA tampil lebih agresif pada separuh masa pertama dengan menghasilkan beberapa percubaan ke arah gawang East Bengal FC.
Bagaimanapun, barisan pertahanan pasukan pelawat ampuh bagi mengekang asakan Sabah FA, sekali gus memastikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.
Babak kedua menyaksikan East Bengal FC berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-68 menerusi Olivia Anokye sebelum Soumya Guguloth menggandakan kelebihan pada minit ke-87 untuk melengkapkan kemenangan 2-0.
Sementara itu, Ketua Jurulatih East Bengal FC, Anthony Andrews memuji disiplin dan komitmen anak buahnya yang berjaya mengekang ancaman Sabah FA sepanjang perlawanan.
Beliau berkata, kemampuan pemain untuk berpegang kepada perancangan taktikal menjadi antara faktor utama kejayaan pasukannya berjaya menyekat serangan tuan rumah.
“Sabah bukan pasukan yang mudah kerana kami tahu mereka mempunyai serangan yang baik.
“Paling penting, pemain berpegang kepada perancangan dan ia banyak membantu kami meneutralkan serangan mereka,” katanya.