
JAKARTA, 3 Sept – Seramai 777 pelajar dan guru di Jawa Tengah, Indonesia dilaporkan mengalami keracunan makanan selepas menikmati hidangan percuma kerajaan pada Khamis.
- Lebih 1,700 mangsa keracunan dilaporkan dalam seminggu, termasuk insiden terkini di Jawa Tengah.
- Di Lasem, 752 pelajar dan 25 guru alami cirit-birit dan muntah selepas makan ayam panggang yang berlendir.
- Skim makanan percuma bernilai bilion dolar dikritik kerana rasuah, penyimpanan tidak sempurna dan penghantaran lewat.
Kes berkenaan sekali gus meningkatkan jumlah mangsa skim tersebut kepada lebih 1,700 orang dalam tempoh seminggu.
“Insiden terbaharu berlaku di sebuah sekolah menengah atas di Lasem, Jawa Tengah yang menyaksikan 752 pelajar dan 25 guru mengalami simptom cirit-birit serta muntah,” kata Pengetua sekolah, Juhartutik.
Menurut beliau, mangsa disajikan dengan ayam panggang yang sebahagiannya telahpun mengalami kerosakan.
“Ayam yang berlendir itu telah diasingkan…pengendali dapur memaklumkan makanan berkenaan dimasak pada pukul 3 pagi dan hanya dimakan pada waktu tengah hari,” katanya sambil menambah majoriti mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah.
Presiden Prabowo Subianto melancarkan program makanan percuma bernilai bilion dolar itu tahun lalu bagi meningkatkan tahap pemakanan puluhan juta kanak-kanak.
Namun, skim berkenaan berdepan isu dakwaan rasuah termasuk pengendalian simpanan makanan yang tidak sempurna serta kelewatan penghantaran makanan yang telah dimasak hingga menjadi punca utama kejadian keracunan tersebut.- REUTERS