
MOSCOW, 3 Sept – Rusia memberi jaminan akan mengekang sebarang gangguan terhadap penerbangan awam susulan amaran Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky yang akan melakukan serangan balas dron di ruang udara Rusia.
- Ukraine memaklumkan kepada ICAO bahawa ruang udara Rusia tidak lagi selamat.
- Kementerian Pengangkutan Rusia bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan dan Pengawal Kebangsaan untuk meningkatkan langkah keselamatan penerbangan.
- Flightradar24 melaporkan pembatalan dan kelewatan penerbangan di Sheremetyevo dan Vnukovo; beberapa penerbangan asing juga dibatalkan.
Menteri Luar Ukraine, Andrii Sybiha berkata pihaknya telah memaklumkan secara rasmi kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bahawa ruang udara Rusia tidak lagi selamat.
Manakala Menteri Pengangkutan Rusia, Andrei Nikitin menegaskan pihaknya bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertahanan dan Pengawal Kebangsaan Rusia bagi menjamin keselamatan penerbangan.
“Kami sentiasa meningkatkan keperluan keselamatan penerbangan serta lapangan terbang. Kami yakin gangguan ketara terhadap penerbangan awam dapat dielakkan,” katanya.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Rusia turut menyifatkan tindakan Ukraine membelakangkan Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa sambil menegaskan pengangkutan udara dan infrastruktur darat Rusia masih beroperasi mengikut jadual.
Bagaimanapun, data Flightradar24 menunjukkan kelewatan dan pembatalan penerbangan di lapangan terbang utama Moscow pada Rabu.
Antaranya membabitkan Lapangan Terbang Antarabangsa Sheremetyevo dengan 21 penerbangan dibatalkan dan 235 mengalami kelewatan.
Di Lapangan Terbang Vnukovo, sebanyak 22 penerbangan dibatalkan, manakala 94 mengalami kelewatan.
Syarikat penerbangan Turki, Pegasus Airlines turut membatalkan beberapa penerbangan ke Rusia atas sebab teknikal dan operasi.- REUTERS