Sidang Kemuncak NATO : Pemimpin Eropah tiba di Ankara

Emmanuel Macron/ REUTERS

ANKARA, 8 Julai – Beberapa pemimpin Eropah termasuk Presiden Perancis, Emmanuel Macron, Canselor Jerman, Friedrich Merz dan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, tiba di Ankara pada Selasa bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang dianjurkan oleh Turkiye.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemimpin NATO umum perjanjian pembelian senjata bernilai puluhan bilion dolar, menandakan komitmen tingkatkan perbelanjaan pertahanan Eropah.
  • Presiden AS Donald Trump nyatakan kekecewaan terhadap beberapa sekutu walaupun anggota terus memperkukuh komitmen pertahanan.
  • Sidang diadakan untuk mempamerkan kesatuan anggota NATO selepas menghadapi tempoh mencabar sepanjang tahun ini.
  • Perancis dan Britain rancang misi maritim pelbagai negara di Selat Hormuz tetapi Iran menolak inisiatif itu.

Pada sidang berkenaan, para pemimpin NATO mengumumkan beberapa perjanjian pembelian senjata bernilai puluhan bilion dolar Amerika Syarikat (AS), sekali gus menunjukkan komitmen mereka untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan Eropah sebagaimana digesa Washington.

Perkembangan itu berlaku ketika Presiden AS, Donald Trump, menyatakan rasa kecewanya terhadap beberapa sekutu, walaupun negara anggota NATO terus memperkukuh komitmen mereka dalam aspek pertahanan.

Sidang kemuncak di ibu negara Turkiye itu diadakan dengan harapan dapat mempamerkan kesatuan dalam kalangan anggota NATO selepas berdepan tempoh yang mencabar sepanjang tahun ini.

Konflik melibatkan Iran sebelum ini turut mendedahkan perbezaan pendirian dalam kalangan negara anggota pakatan pertahanan itu, yang menjadi tunjang keselamatan Barat sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua.

Dalam perkembangan berkaitan, Perancis dan Britain dijangka membentangkan pelan bagi mewujudkan misi maritim pelbagai negara di Selat Hormuz dalam pertemuan antara NATO dan menteri luar negara Teluk Arab pada Selasa.

Bagaimanapun, menurut diplomat, penolakan Iran terhadap inisiatif tersebut menjadikan usaha untuk meredakan kebuntuan berhubung laluan perairan strategik itu sukar dicapai. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.