Serangan Israel bunuh lebih 100 penduduk Gaza

GAZA, 29 Oktober – Agensi pertahanan awam Gaza dan hospital-hospital di wilayah itu pada Rabu memberitahu serangan udara Israel telah membunuh lebih 100 orang termasuk 35 kanak-kanak dalam tempoh 12 jam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan udara Israel membunuh lebih 100 penduduk Gaza, termasuk 35 kanak-kanak, menurut agensi pertahanan awam dan hospital.
  • Jurucakap pertahanan awam berkata serangan itu menyerang khemah pelarian, rumah dan kawasan berhampiran hospital, menggambarkan keadaan amat dahsyat.
  • Hamas menafikan penglibatan dalam insiden Rafah; AS dan pemimpin lain menegaskan gencatan senjata masih wujud meski berlaku pertempuran.

Jurucakap pertahanan awam, Mahmoud Bassal menggambarkan keadaan di Gaza sebagai amat dahsyat dan menakutkan sambil menyifatkan serangan itu sebagai pelanggaran jelas dan terang-terangan terhadap perjanjian gencatan senjata.

“Serangan Israel menyasarkan khemah pelarian, rumah-rumah, dan kawasan berhampiran sebuah hospital di sini,” katanya.

Tentera Zionis melancarkan puluhan serangan udara pada malam Selasa selepas mendakwa Hamas menyerang tenteranya dan melanggar gencatan senjata.

Israel tidak menyatakan lokasi jelas serangan itu.

Bagaimanapun Hamas menafikan pihaknya terlibat dengan insiden tembakan di Rafah dan menegaskan komitmennya terhadap gencatan senjata yang diusahakan oleh Amerika Syarikat (AS).

Sebelum itu, Presiden AS, Donald Trump memberi jaminan serangan terbaharu rejim Zionis itu tidak akan menjejaskan gencatan senjata yang termeterai pada awal Oktober lalu.

Naib Presiden AS, JD Vance pula berkata gencatan senjata masih bertahan walaupun terdapat pertempuran kecil. – AFP