JERUSALEM, 29 Oktober – Selepas melancarkan puluhan serangan udara yang mengorbankan lebih 100 penduduk Gaza, rejim Zionis pada Rabu mengumumkan gencatan senjata kini kembali berkuat kuasa.
- Israel melancarkan puluhan serangan udara sebelum mengumumkan gencatan senjata kembali berkuat kuasa.
- Kerajaan Israel mendakwa serangan itu menyasarkan 30 individu yang didakwa pengganas.
- Agensi Pertahanan Awam Gaza melaporkan lebih 100 orang terbunuh, termasuk 35 kanak-kanak, dalam 12 jam.
- Jurucakap pertahanan awam menggambarkan keadaan di Gaza sebagai amat dahsyat dan pelanggaran jelas terhadap perjanjian gencatan.
- Hamas menafikan penglibatan dalam tembakan di Rafah dan menegaskan komitmen terhadap gencatan yang diusahakan AS.
“Selepas siri serangan yang dilancarkan sebagai tindak balas terhadap pelanggaran dilakukan oleh Hamas, gencatan senjata dikuat kuasa semula, ” menurut kenyataan pasukan pertahanan negara haram itu.
Kenyataan sama menyebut serangan udara yang dilancar telah menyerang 30 individu yang didakwa sebagai pengganas.
Dalam pada itu, Agensi Pertahanan Awam Gaza dan hospital-hospital di wilayah itu pada Rabu memberitahu serangan udara Israel telah membunuh lebih 100 orang termasuk 35 kanak-kanak dalam tempoh 12 jam.
Jurucakap pertahanan awam, Mahmoud Bassal menggambarkan keadaan di Gaza sebagai amat dahsyat dan menakutkan sambil menyifatkan serangan itu sebagai pelanggaran jelas dan terang-terangan terhadap perjanjian gencatan senjata.
“Serangan Israel menyasarkan khemah pelarian, rumah-rumah, dan kawasan berhampiran sebuah hospital di sini,” katanya.
Tentera Zionis melancarkan puluhan serangan udara pada malam Selasa selepas mendakwa Hamas menyerang tenteranya dan melanggar gencatan senjata.
Bagaimanapun Hamas menafikan pihaknya terlibat dengan insiden tembakan di Rafah dan menegaskan komitmennya terhadap gencatan senjata yang diusahakan oleh Amerika Syarikat. – AFP