Serangan dron di pasar Sudan ragut 11 nyawa

(Foto fail) Kepulan asap kelihatan selepas serangan udara dilancarkan tentera Sudan ke atas kedudukan RSF di tengah Khartoum pada September 2024/ AFP

KHARTOUM, 7 Jun- Sekurang-kurangnya 11 orang awam terbunuh manakala puluhan lagi cedera dalam satu serangan dron yang mengenai sebuah pasar utama di Abu Zaeima, negeri Kordofan Utara, Sudan pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kumpulan hak asasi Emergency Lawyers berkata angka korban dijangka meningkat dan pihak bertanggungjawab belum dikenal pasti.
  • Saksi laporkan serangan dron lain, termasuk ke atas stesen minyak di El-Obeid, menambah kebimbangan keselamatan di kawasan berhampiran.
  • PBB menganggarkan sekurang-kurangnya 880 orang awam terbunuh akibat serangan dron di seluruh Sudan antara Januari hingga April ini.

Kumpulan hak asasi, Emergency Lawyers memaklumkan tiada pihak tampil bertanggungjawab setakat ini dan angka korban dijangka meningkat.

“Keadaan di lapangan masih tidak menentu dan angka sebenar korban mungkin berubah apabila data lengkap diperoleh,” menurut kumpulan itu yang memantau pelanggaran hak asasi di negara berkenaan sejak konflik tercetus pada April 2023.

Saksi kejadian memaklumkan beberapa insiden serangan dron turut berlaku di kawasan berhampiran termasuk serangan ke atas sebuah stesen minyak di El-Obeid, ibu negeri Kordofan Utara yang sebahagiannya dikepung Pasukan Sokongan Pantas (RSF) sejak beberapa bulan lalu.

Menurut sumber perubatan di hospital tempatan, sekurang-kurangnya empat orang awam yang cedera telah menerima rawatan, manakala keadaan keselamatan di beberapa kawasan masih tidak stabil susulan siri serangan berterusan.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sekurang-kurangnya 880 orang awam terbunuh akibat serangan dron di seluruh Sudan antara Januari hingga April tahun ini, ketika konflik antara tentera Sudan dan RSF terus meruncing serta mencetuskan krisis kemanusiaan terbesar di dunia. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.