
GAZA, 9 Januari – Serangan Israel di wilayah Gaza pada Khamis mengorbankan sembilan individu termasuk lima kanak-kanak walaupun gencatan senjata dilaporkan telah banyak menghentikan pertempuran, menurut agensi pertahanan awam Gaza.
- Empat orang termasuk tiga kanak-kanak maut selepas dron menyerang khemah penduduk yang dipindahkan di selatan Gaza.
- Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun terbunuh berhampiran kem pelarian Jabalia di utara Gaza.
- Serangan ke atas sebuah sekolah mengorbankan seorang individu.
- Serangan dron berhampiran Khan Yunis meragut nyawa seorang lelaki.
- Jurucakap Hamas menyatakan serangan itu mengesahkan penolakan Israel terhadap komitmen gencatan senjata.
Jurucakap agensi itu, Mahmud Bassal, berkata, empat individu termasuk tiga kanak-kanak maut selepas sebuah dron menyerang khemah yang menempatkan penduduk Palestin yang dipindahkan di selatan Gaza.
Beliau berkata, seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun terbunuh berhampiran kem pelarian Jabalia di utara Gaza, manakala serangan ke atas sebuah sekolah mengorbankan seorang individu, dan serangan dron berhampiran Khan Yunis pula meragut nyawa seorang lelaki.
Agensi itu turut melaporkan dua lagi penduduk Gaza termasuk seorang kanak-kanak terbunuh dalam serangan lain.
Apabila diminta mengulas, pihak tentera rejim Israel memaklumkan sedang menyemak laporan tersebut, manakala jurucakap Hamas, Hazem Qassem, berkata serangan itu mengesahkan penolakan Israel terhadap komitmen gencatan senjata.-AFP