MADRID, 15 Oktober -Kesatuan pekerja dan pelajar di Sepanyol melancarkan mogok serta himpunan solidariti di Madrid bagi menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin.
- Kesatuan pekerja dan pelajar di Madrid mogok serta berhimpun bagi solidariti dengan rakyat Palestin.
- Peserta membawa bendera Palestin dan sepanduk mengecam genosid serta menuntut hentikan keganasan.
- Protes mengecam gencatan senjata AS dan menuduh Pelan Trump memaksa kehendak Netanyahu.
- Seruan supaya Sepanyol putuskan hubungan ekonomi dan diplomatik dengan Israel sebagai tindakan tegas.
- Penganjur tekan solidariti mesti diteruskan walaupun bantuan mula masuk ke Gaza melalui Rafah.
Ribuan peserta berkumpul sambil membawa bendera Palestin dan sepanduk bertulis “Hentikan genosid”.
Protes itu turut melaungkan kecaman terhadap gencatan senjata yang diumumkan Amerika Syarikat.
Mereka mendakwa pelan damai Presiden Donald Trump hanya memaksa rakyat Palestin menerima kehendak Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
“Kami tidak bersetuju dengan apa yang dipanggil Pelan Trump. Ia sekali lagi bersekongkol dengan genosid,” kata Mariano Navarro, seorang penunjuk perasaan berusia 70 tahun.
Seorang penulis, Silvia pula menyatakan, Sepanyol perlu mengambil langkah tegas.
“Sepanyol mesti hentikan hubungan ekonomi dan diplomatik dengan Israel. Selagi hubungan itu tidak diputuskan, Israel akan terus lakukan apa sahaja yang mereka mahu,” katanya.
Sementara itu, aktivis Boti Garcia Rodrigo menyeru rakyat Sepanyol lebih lantang membela Palestin.
“Semua warga patut berada di sini mempertahankan nyawa dan maruah rakyat Palestin,” ujarnya.
Perhimpunan itu berlangsung serentak dengan perkembangan di Gaza, apabila trak bantuan mula memasuki Khan Younis selepas Israel bersetuju membuka semula lintasan Rafah.
Namun, penganjur perhimpunan menegaskan tindakan solidariti mesti diteruskan kerana rakyat Palestin masih berdepan penderitaan, meskipun genosid dihentikan sementara. -REUTERS