Protes di Seoul susulan ancaman tarif lebih tinggi oleh Trump

Penunjuk perasaan mengecam tindakan Presiden Donald Trump menaikkan tarif import ke atas barangan Korea Selatan / REUTERS

SEOUL, 27 Januari – Sekumpulan penunjuk perasaan berhimpun berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Seoul bagi membantah keputusan Presiden Donald Trump menaikkan tarif import ke atas Korea Selatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penunjuk perasaan berkumpul di hadapan Kedutaan AS di Seoul menentang kenaikan tarif import oleh Washington.
  • Mereka mengecam campur tangan luar dalam urusan perdagangan dan keputusan Korea Selatan.
  • Jung Sung-hee menuntut rundingan awam dan proses dwipartisan untuk keputusan perdagangan dan pelaburan.
  • Kenaikan tarif 25 peratus oleh Trump menyasar sektor automotif dan barangan lain, mencetuskan bantahan.

Mereka membawa sepanduk dan melaungkan slogan mengecam tindakan Washington, selain mendakwa langkah itu campur tangan terhadap urusan dalaman Korea Selatan.

Seorang penunjuk perasaan, Jung Sung-hee berkata, keputusan berkaitan perdagangan dan pelaburan di Korea Selatan perlu melalui rundingan awam serta proses dwipartisan, bukannya ditentukan secara unilateral oleh pihak luar.

Beliau turut mengkritik dakwaan AS bahawa Korea Selatan akan melabur AS$200 bilion dalam projek loji tenaga nuklear di Alaska.

Ia disifatkan sebagai tindakan yang melanggar prinsip kepercayaan dan undang-undang antarabangsa.

Bantahan itu tercetus sehari selepas Trump mengumumkan kenaikan tarif import Korea Selatan kepada 25 peratus, melibatkan sektor automotif dan beberapa barangan lain.

Trump menyalahkan badan perundangan Korea Selatan kerana didakwa gagal melaksanakan sepenuhnya perjanjian perdagangan yang dipersetujui sebelum ini. -REUTERS