
LA PAZ, 14 Mei– Laluan darat yang menghubungkan bandar-bandar utama di Bolivia, khususnya di sekitar La Paz dan El Alto, dilaporkan lumpuh sepenuhnya pada Rabu (13 Mei).
- Sekatan jalan raya besar menyebabkan barisan lori kargo tersadai dan mengganggu sistem logistik negara.
- Putusnya laluan bekalan menjejaskan kawasan utara, mengakibatkan kekurangan makanan asas dan peralatan perubatan.
- Pihak berkuasa memberi amaran ketersediaan bekalan kini berada pada tahap membimbangkan.
- Penunjuk perasaan menuntut peletakan jawatan Presiden Rodrigo Paz, rundingan istana gagal meredakan ketegangan.
Ia berikutan tindakan penunjuk perasaan yang mengekalkan sekatan jalan raya secara besar-besaran.
Barisan panjang lori kargo yang membawa pelbagai muatan kini tersadai di sepanjang lebuh raya tanpa tanda-tanda jalan akan dibuka dalam masa terdekat, ekoran tuntutan rakyat yang mendesak peletakan jawatan Presiden Rodrigo Paz secara serta-merta.
Sekatan jalan raya yang telah memasuki hari ketujuh itu bukan sahaja mengganggu sistem logistik negara, malah telah memutus laluan bekalan kritikal ke kawasan utara Bolivia.
Keadaan tersebut mencetuskan kebimbangan serius dalam kalangan penduduk bandar yang kini mula berdepan dengan masalah kekurangan bekalan makanan asas dan peralatan perubatan yang semakin meruncing.
Pihak berkuasa tempatan memberi amaran bahawa ketersediaan bekalan di wilayah terlibat kini berada pada tahap yang membimbangkan.
Di pihak penunjuk perasaan, mereka menegaskan bahawa tindakan ekstrem itu adalah satu-satunya cara untuk menyatakan bantahan terhadap dasar-dasar ekonomi kerajaan, termasuk langkah-langkah penswastaan dan isu kualiti bahan api yang didakwa membebankan rakyat.
Meskipun pentadbiran Presiden Rodrigo Paz telah mengemukakan pelawaan rundingan rasmi di istana presiden kepada semua pihak yang terlibat, usaha diplomasi tersebut masih gagal meredakan keadaan.
Ketegangan di lapangan kekal memuncak apabila penunjuk perasaan memilih untuk terus mengekalkan sekatan di titik-titik strategik jalan raya, sekali gus membelakangkan seruan dialog oleh pihak kerajaan. -REUTERS