Portugal peruntuk €2.5 bilion pulih ribut maut

Penduduk melalui kawasan dipenuhi serpihan di Praia da Vieira selepas Ribut Kristin melanda Portugal dan mengorbankan lima nyawa serta menjejaskan bekalan elektrik ratusan ribu pengguna/Foto AFP

LISBON, 2 Februari – Portugal memperuntukkan €2.5 bilion (kira-kira RM12.7 bilion) bagi usaha pemulihan selepas Ribut Kristin mengorbankan lima nyawa dan menyebabkan kerosakan meluas di beberapa wilayah negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan memperuntukkan €2.5 bilion untuk usaha pemulihan selepas kerosakan meluas ditinggalkan oleh Ribut Kristin.
  • Perintah darurat dilanjutkan, dengan kemungkinan pemindahan penduduk kerana tanah tepu air dan cuaca buruk berterusan.
  • Bantuan termasuk moratorium 90 hari untuk pinjaman, €400 juta pembaikan infrastruktur, dan penggerakan sumber awam serta swasta.

Perdana Menteri, Luis Montenegro turut melanjutkan perintah darurat setempat di kawasan terjejas hingga 8 Februari ketika negara bersiap menghadapi hujan lebat berterusan.

Beliau memberi amaran beberapa kawasan mungkin berdepan situasi lebih serius termasuk kemungkinan pemindahan penduduk kerana tanah sudah tepu air.

Agensi meteorologi IPMA meletakkan seluruh tanah besar Portugal dalam keadaan berjaga-jaga susulan ramalan hujan lebat dan angin mencecah 100 kilometer sejam.

“Ramalan cuaca sangat buruk dan berpotensi menyebabkan kerosakan besar,” kata Ketua Perlindungan Awam Portugal, Mario Silvestre.

Sebagai sebahagian pakej bantuan, kerajaan mengumumkan moratorium 90 hari bayaran pinjaman dan gadai janji bagi penduduk terjejas serta memperuntukkan €400 juta untuk pembaikan segera jalan raya dan landasan kereta api.

Montenegro menegaskan semua sumber awam dan swasta digerakkan bagi memastikan proses pemulihan dapat disegerakan.

Seramai 167,000 pengguna masih terputus bekalan elektrik setakat Ahad, menurun daripada lebih sejuta sejurus ribut melanda.

Ribut Kristin melanda wilayah tengah dan utara Portugal minggu lalu, mencetuskan banjir, tanah runtuh serta kerosakan bangunan dan infrastruktur.-AFP