
ISLAMABAD, 13 Jun – Perjanjian damai bagi menamatkan konflik bersenjata antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) “berkemungkinan besar” akan dimuktamadkan dalam tempoh 24 jam ini, menurut Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif pada Sabtu.
- Pakistan sedang bersedia untuk proses tandatangan perjanjian secara elektronik.
- Rundingan peringkat teknikal dijangka akan diadakan minggu depan.
- Selepas kebuntuan beberapa minggu, kedua-dua pihak menunjukkan isyarat positif menuju persetujuan.
- Perdana Menteri yakin perjanjian menjadi asas kukuh bagi keamanan berkekalan di Asia Barat, dan merakamkan penghargaan kepada Washington serta Tehran.
“Kita kini berada lebih dekat dengan perjanjian damai berbanding sebelum ini. Dengan perjanjian damai yang bakal dimuktamadkan dalam tempoh 24 jam akan datang, Pakistan sedang bersiap sedia untuk proses menandatangani perjanjian itu secara elektronik.
“Sebelum disusuli dengan rundingan peringkat teknikal pada minggu depan,” katanya menerusi hantaran di X.
Selepas beberapa minggu rundingan mengenai terma memorandum persefahaman (MoU) awal mengalami jalan buntu, kedua-dua pihak bertelagah mula memberi isyarat positif sejak beberapa hari kebelakangan ini bahawa kedua-dua negara berkenaan semakin hampir mencapai persetujuan.
Pakistan sebelum ini mendesak kedua-dua negara mencapai pelan penyelesaian muktamad pascagencatan senjata rapuh pada April lalu, termasuk pernah menjadi tuan rumah kepada rundingan yang berakhir tanpa keputusan bagi menyelesaikan konflik yang meletus sejak akhir Februari lepas.
Sharif menyatakan keyakinannya bahawa perjanjian damai bersejarah itu akan menjadi asas pembentukan yang kukuh bagi mewujudkan keamanan yang berkekalan di Asia Barat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Washington dan Tehran atas komitmen berterusan mereka sepanjang proses rundingan. – AFP.