Jasad Puteri Bajrakitiyabha tiba di Istana Besar Bangkok

Foto REUTERS

BANGKOK, 13 Jun – Jasad Puteri Diraja Thailand, Bajrakitiyabha Narendira Debyavati, dibawa dari Hospital Chulalongkorn ke Istana Besar (Grand Palace) disini pada Sabtu, sehari selepas pihak istana mengumumkan kemangkatan anak sulung Raja Maha Vajiralongkorn itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mendiang mangkat pada usia 47 tahun selepas kesihatan merosot akibat komplikasi: kolitis, tekanan darah rendah, aritmia dan masalah pembekuan darah.
  • Dimasukkan hospital sejak Disember 2022 selepas koma akibat masalah jantung semasa lawatan, kemudian diterbangkan ke Bangkok untuk rawatan intensif.
  • Mendiang anak sulung Raja, antara tiga anakanda yang layak menaiki takhta; istana akan mengendalikan upacara pemakaman diraja; kerajaan dijangka mengumumkan tempoh berkabung rasmi.

Mendiang puteri diraja itu mangkat pada usia 47 tahun.

Menurut kenyataan rasmi pihak istana, mendiang menghembuskan nafas terakhir pada malam Khamis selepas keadaan kesihatannya dilaporkan semakin merosot akibat mengalami beberapa komplikasi penyakit seperti radang usus (kolitis), tekanan darah rendah, gangguan ritma jantung (aritmia), serta masalah pembekuan darah.

Sebelum ini, Puteri Bajrakitiyabha dimasukkan ke hospital sejak Disember 2022 selepas tiba-tiba koma akibat masalah berkaitan jantung ketika melawat wilayah Nakhon Ratchasima, sebelum diterbangkan dengan helikopter ke Bangkok untuk rawatan intensif.

Puteri Bajrakitiyabha, atau lebih dikenali dalam kalangan rakyat dengan panggilan ‘Puteri Pa’, diputerikan pada 7 Disember 1978 hasil perkahwinan Raja Vajiralongkorn bersama isteri pertama baginda, Puteri Soamsawali.

Mendiang merupakan salah seorang daripada tiga anakanda Raja Vajiralongkorn yang memegang gelaran rasmi diraja serta layak menaiki takhta di bawah undang-undang perlembagaan negara berkenaan.

Pihak istana dijadual mengendalikan upacara istiadat pemakaman diraja.

Manakala pihak kerajaan Thailand dijangka mengumumkan tempoh perkabungan rasmi di peringkat nasional dalam masa terdekat bagi menghormati kemangkatan baginda. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.