Penyembur anti-beruang tertumpah, lima individu dikejarkan ke hospital

Foto AFP

TOKYO, 2 Julai – Seramai lima orang dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan selepas seorang lelaki tidak sengaja melepaskan semburan anti-beruang di sebuah pejabat pos di pusat bandar Nagoya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenaikan kes serangan beruang dilaporkan di Jepun, mendorong penggunaan alat pencegah dan langkah keselamatan lebih meluas.
  • Sejak 1 April, sekurang-kurangnya lima kematian disahkan akibat serangan beruang; tahun lalu 13 kematian direkod.
  • Pakar kaitkan lonjakan kepada populasi beruang meningkat dan pengurangan penduduk luar bandar, mendorong haiwan menceroboh kawasan bandar.

Insiden berlaku ketika negara matahari terbit itu sedang bergelut dengan peningkatan mendadak kes serangan haiwan liar tersebut.

Laporan media tempatan memetik kenyataan pihak berkuasa bahawa pelaku merupakan seorang warga asing telah memohon maaf dan mengaku kepada pihak polis bahawa beliau tertekan picu alat pencegah beruang itu tanpa niat.

“Lapan orang dilaporkan mengalami sesak nafas dan loya.  Lima daripadanya telah dihantar ke hospital. Bagaimanapun, tiada kecederaan parah atau penyakit serius dilaporkan,” kata pegawai bomba, Ryohei Asano.

Insiden cemas tersebut secara tidak langsung menggambarkan peningkatan kegunaan alat keselamatan tersebut dalam kalangan masyarakat Jepun ekoran kekerapan kes membabitkan manusia dan beruang.

Sejak 1 April lalu, sekurang-kurangnya lima orang disahkan maut akibat diserang beruang di Jepun.

Tahun lepas, 13 kematian dilaporkan berlaku.

Malah pada minggu ini, pihak berkuasa sedang menyiasat kes kematian keenam melibatkan seorang lelaki dengan kesan gigitan haiwan ditemukan di kawasan pergunungan di utara Jepun.

Pakar sains mengaitkan lonjakan mendadak kes serangan berkenaan dikaitkan dengan pertambahan populasi beruang serta trend pengurangan penduduk di kawasan luar bandar menyebabkan haiwan liar tersebut mula menceroboh masuk ke kawasan bandar untuk mencari makanan.

Bulan lepas, puluhan anggota polis, pemburu dan pegawai bandar raya mengambil masa empat hari untuk menangkap seekor beruang yang berkeliaran di Utsunomiya, utara Tokyo, sehingga memaksa penutupan sekolah secara besar-besaran di kawasan tersebut.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.