
KIEV, 2 Julai – Susulan tindakan Rusia yang memperhebat serangan ke atas tapak budaya dan sejarah Ukraine, pihak pengurusan muzium Muzium Holodomor di sini mengambil langkah berjaga-jaga dengan memindahkan koleksi berharga ke lokasi rahsia yang lebih selamat.
- Khazanah muzium termasuk jubah, ikon keagamaan, buku purba dan peralatan pertanian logam.
- Pegawai Ukraine menuduh Rusia sengaja menyasarkan tapak warisan dan institusi kebudayaan, mengancam identiti budaya negara.
- Hampir 2,000 tapak warisan dan 2,500 institusi kebudayaan dilaporkan rosak teruk sejak pencerobohan besar 2022; insiden terbaru termasuk serangan dron ke atas Pechersk Lavra.
Antara khazanah yang dipindahkan ialah jubah, ikon keagamaan, buku purba dan peralatan pertanian logam.
Koleksi tersebut penting bagi mengenang jutaan nyawa yang terkorban ketika bencana kebuluran manusia pada tahun 1932-1933 di bawah rejim Soviet, peristiwa hitam yang disifatkan Ukraine dan sebahagian besar dunia sebagai jenayah genosid.
“Serangan beberapa minggu kebelakangan ini membuktikan bahawa Rusia sengaja menyasarkan serangan ke atas tapak warisan dan institusi kebudayaan,” kata Timbalan Ketua Pengarah muzium berkenaan, Olga Melnyk.
Menurut Melnyk lagi, Kementerian Kebudayaan Ukraine mendedahkan bahawa hampir 2,000 tapak warisan budaya dan 2,500 institusi kebudayaan telah mengalami kerosakan teruk sejak Rusia melancarkan pencerobohan berskala besar pada 2022.
Antara insiden terbaharu termasuklah serangan dron Rusia pada bulan lalu yang menyasarkan Pechersk Lavra; sebuah biara abad ke-11 yang dilindungi UNESCO, selain Muzium Seni Kharkiv iaitu galeri utama di Dnipro serta studio filem di Kiev.
“Tujuan mereka adalah untuk memusnahkan warisan kami dan melenyapkan bukti sejarah seribu tahun Ukraine serta identiti budaya kami yang unik,” tegas Timbalan Menteri Kebudayaan, Ivan Verbytsky.
Sementara itu, Moscow menafikan dakwaan bahawa mereka menyasarkan tapak kebudayaan secara sengaja.
Rusia sebaliknya mendakwa insiden kebakaran gereja di Kiev tersebut berpunca daripada kegagalan fungsi peluru berpandu pertahanan udara buatan Amerika Syarikat yang dikendalikan oleh tentera Ukraine.- AFP