
SEOUL, 8 Oktober – Korea Selatan mendakwa penghantaran diesel ke Rusia, yang menurut pengkritik membantu menangani kekurangan bahan api di negara itu, tidak tertakluk kepada kawalan eksport.
- Laporan The Guardian menyatakan lebih 176,000 tan bahan api, kebanyakannya diesel, dihantar dari Korea Selatan ke Rusia pada Julai dan Ogos.
- Kenyataan kementerian menyebut produk petroleum bertapis termasuk diesel komersial tidak tertakluk kawalan eksport Korea Selatan terhadap Rusia.
- Pemeriksaan lanjut dijalankan selepas The Guardian berkata tiga daripada tujuh kapal tangki dikenakan sekatan.
- Hubungan Seoul dan Kyiv tegang; insiden pemindahan anggota tentera Korea Utara didakwa memburukkan lagi hubungan diplomatik.
Akhbar Britain, The Guardian pertama kali melaporkan minggu ini bahawa lebih 176,000 tan bahan api, kebanyakannya diesel dihantar dari Korea Selatan ke Rusia pada Julai dan Ogos, berdasarkan rekod pelabuhan serta data penjejakan kapal.
Laporan itu meningkatkan tekanan terhadap hubungan diplomatik yang sememangnya tegang antara Seoul dengan Kiev, memandangkan Korea Selatan menyediakan bantuan kewangan dan kemanusiaan kepada Ukraine dalam perang menentang Rusia.
Kedua-dua negara juga sudah bertelagah berhubung perkara yang disifatkan Seoul sebagai pendedahan secara unilateral oleh Kiev bahawa anggota tentera Korea Utara yang ditawan telah dipindahkan ke Korea Selatan.
Sejak Rusia melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine pada 2022, Pyongyang menjadi sekutu penting Kremlin dengan menghantar tentera untuk menyokong usaha perang Moscow sebagai pertukaran manfaat ekonomi dan teknologi ketenteraan.
Seorang penasihat kepada Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky pada minggu ini berkata, dakwaan penghantaran diesel itu amat bertentangan dengan dasar sekatan Korea Selatan, yang disifatkan Seoul sebagai tidak tepat dari segi fakta dan tidak wajar.
Menurut Kementerian Luar Korea Selatan, diesel walaupun berasal dari Korea Selatan, tidak melanggar larangan eksport.
Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada bahan api yang berasal dari Korea Selatan, termasuk diesel, dieksport ke Rusia.
“Produk petroleum bertapis, termasuk diesel komersial dan bahan api penerbangan yang disebut dalam laporan The Guardian, tidak tertakluk kepada kawalan eksport Korea Selatan terhadap Rusia,” kata kementerian itu sambil menambah bahawa jumlah eksport keseluruhan ke Moscow telah dikurangkan lebih separuh sejak perang bermula.
Laporan The Guardian menyebut, tiga daripada tujuh kapal tangki yang didakwa dimuatkan di pelabuhan Korea Selatan dikenakan sekatan.
Pemeriksaan lanjut sedang dijalankan terhadap laluan kapal-kapal berkenaan bagi menentukan sama ada mana-mana undang-undang domestik telah dilanggar.
Hubungan antara Korea Selatan dengan Ukraine dingin sejak Zelensky mendedahkan bulan lalu mengenai pemindahan dua anggota tentera Korea Utara yang ditawan, tindakan yang menurut Seoul mendedahkan keluarga tahanan berkenaan kepada risiko.
Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung menuntut permohonan maaf secara terbuka berhubung insiden itu, yang disifatkan Menteri Luar Ukraine Andriy Sybiga sebagai salah faham diplomatik. -AFP