
PIEDMONT, 23 Mei – Pengasas gerakan antarabangsa “Slow Food”, Carlo Petrini, yang banyak mengubah pemikiran global mengenai pengeluaran dan penggunaan makanan, meninggal dunia pada usia 76 tahun.
- Petrini terkenal sebagai tokoh lantang memperjuangkan kualiti makanan, isu budaya, sosial dan politik serta memperkasakan petani kecil dan biodiversiti.
- Beliau mengasaskan gerakan Slow Food pada 1986 sebagai bantahan terhadap McDonald’s, yang berkembang menjadi rangkaian global di lebih 160 negara.
- Petrini menubuhkan Universiti Sains Gastronomi, mencipta Ark of Taste dan memperkenalkan forum Terra Madre; merangkul komuniti pengeluar dan cef.
Pertubuhan Slow Food memaklumkan Petrini meninggal dunia pada Khamis di kampung halamannya di Bra, di wilayah Piedmont, barat laut Itali, namun tidak menyatakan punca kematian. Beliau sebelum ini dilaporkan menghidap kanser prostat.
Petrini dikenali sebagai tokoh berpengaruh dalam bidang makanan dan pertanian yang lantang memperjuangkan isu kualiti makanan, budaya, sosial dan politik dalam sistem pengeluaran makanan global.
Beliau memainkan peranan penting dalam mengangkat kedudukan petani kecil, amalan makanan tradisional serta biodiversiti pada ketika arus globalisasi dan penggunaan besar-besaran semakin menghakis warisan tersebut.
Dikenali sebagai “Carlin” dalam kalangan rakan dan penyokong Slow Food, beliau mengasaskan gerakan itu pada 1986 sebagai bantahan terhadap pembukaan restoran makanan segera McDonald’s pertama di Itali berhampiran Spanish Steps di Rom.
“Ketika dalam pesawat, seorang lelaki datang kepada saya dan berkata, ‘Saya musuh anda. Saya bertanggungjawab terhadap semua McDonald’s di Itali,’” kata Petrini kepada akhbar Corriere della Sera pada Disember lalu.
“Saya jawab bahawa saya sebenarnya berterima kasih, kerana tanpa mereka, Slow Food tidak akan wujud,” katanya.
Gerakan Slow Food yang menekankan kualiti, kelestarian alam sekitar serta keadilan kepada pengeluar berkembang daripada kumpulan kecil di kawasan luar bandar kepada rangkaian global di lebih 160 negara.
Petrini turut menubuhkan Universiti Sains Gastronomi di Pollenzo, mencipta Ark of Taste iaitu katalog antarabangsa makanan terancam, serta memperkenalkan forum global Terra Madre yang menghimpunkan komuniti makanan, pengeluar dan cef.
Beliau juga merupakan rakan peribadi Raja Charles III dari Britain, yang terkenal sebagai penyokong pertanian organik, serta mendiang Pope Francis. – REUTERS