Janez Jansa PM Slovenia baharu, tamatkan kebuntuan politik

Presiden Parti Demokrat Slovenia (SDS), Janez Jansa, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Slovenia, di Ljubljana, Slovenia, 22 Mei 2026 / foto REUTERS

LJUBLJANA, 23 Mei – Pemimpin berhaluan kanan, Janez Jansa, dipilih sebagai Perdana Menteri Slovenia yang baharu, sekali gus membuka jalan kepada pembentukan kerajaan selepas berlakunya kebuntuan politik sejak pilihan raya Mac lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jansa memperoleh 51 daripada 90 undi Ahli Parlimen, memastikan sokongan majoriti untuk mengetuai kerajaan.
  • Gabungan lima parti tengah-kanan menyokong pelantikannya dan bersetuju membentuk kabinet dalam tempoh dua minggu.
  • Agenda kerajaan fokus pada pemotongan cukai, sokongan untuk syarikat pemula, pengurangan birokrasi, usaha membanteras rasuah dan dana pencen.

Jansa memperoleh 51 undi daripada 90 Ahli Parlimen, sekali gus menamatkan situasi tergantung selepas tiada parti yang memperoleh majoriti jelas dalam pilihan raya tersebut.

Beliau kini bersiap untuk mengetuai kerajaan baharu selepas dipersetujui oleh gabungan lima parti berhaluan tengah-kanan yang menyokong pelantikannya.

Dalam kenyataannya di Parlimen, Jansa berkata, kerajaan yang bakal dibentuk akan memberi tumpuan kepada pembangunan negara dan pembaharuan ekonomi.

“Parlimen telah mengambil langkah penting ke arah Slovenia yang lebih berjaya pada masa depan. Namun ini bukan langkah terakhir, masih ada kerja yang perlu dilakukan,” katanya.

Beliau turut menyatakan harapan agar barisan kabinet baharu dapat dibentuk dalam tempoh dua minggu akan datang.

Gabungan lima parti itu memfokuskan kepada pelaksanaan pemotongan cukai untuk perniagaan dan isi rumah, sokongan kepada syarikat pemula serta syarikat berpertumbuhan pantas, selain penubuhan dana bagi menyokong sistem pencen.

Antara agenda lain termasuk pengurangan birokrasi, usaha membanteras rasuah serta pemindahan lebih kuasa kepada kerajaan tempatan.

Parti Demokratik Slovenia (SDS) pimpinan Jansa memperoleh 28 kerusi dalam pilihan raya 22 Mac lalu, di belakang parti liberal Freedom Movement (GS) yang memenangi 29 kerusi.

Namun, GS gagal membentuk gabungan majoriti, menyebabkan parti itu beralih ke pembangkang.

Gabungan lima parti berkenaan turut menandatangani perjanjian pada Khamis lalu, disokong oleh parti Resnica yang tidak menyertai kerajaan secara rasmi serta wakil kumpulan minoriti di parlimen. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.