
TEBING BARAT, 19 Mei – Peneroka haram Israel pada petang Isnin membakar tanah, kediaman, dan kenderaan milik rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki dengan perlindungan tentera rejim Israel.
- Penduduk Israel mencetuskan kebakaran di tanah Palestin di Umm Nir, kawasan al-Karmil, selatan Hebron, kata aktivis Osama Makhamra.
- Sukarelawan pertahanan awam dari al-Tuwana dan Susya di Masafer Yatta bertindak memadam kebakaran.
- Pihak berkuasa Israel keluarkan 15 arahan henti kerja menyasarkan rumah dan struktur di kampung Umm Qusa, kawasan gurun Yatta.
Aktivis anti-penempatan haram, Osama Makhamra berkata, penduduk Israel mencetuskan kebakaran di tanah Palestin di kawasan Umm Nir, bandar al-Karmil, selatan Hebron.
Beliau berkata sukarelawan pertahanan awam dari kampung al-Tuwana dan Susya di Masafer Yatta bertindak memadam kebakaran itu.
Dalam perkembangan berasingan, aktivis anti-penempatan haram dan anggota majlis kampung Umm Qusa, Najeh Ataymat berkata pihak berkuasa Israel baru-baru ini mengeluarkan 15 arahan henti kerja yang menyasarkan rumah, struktur kediaman dan kemudahan di kampung itu di kawasan gurun Yatta, selatan Hebron.
Sejak Oktober 2023, serangan tentera Israel dan penduduk haram Israel di Tebing Barat yang diduduki telah mengorbankan 1,162 rakyat Palestin, mencederakan kira-kira 12,245 yang lain serta menyebabkan hampir 23,000 tangkapan, menurut angka rasmi Palestin.