Bina kompleks pertahanan di bekas ibu pejabat UNRWA, Israel langgar undang-undang antarabangsa – Kementerian Luar Palestin

Jentolak Israel merobohkan beberapa struktur ibu pejabat UNRWA di Baitulmaqdis Timur, pada Januari 2025, selepas ia dikosongkan kakitangan UNRWA susulan Israel mengharamkan operasinya di Semenanjung Gaza. Foto REUTERS

RAMALLAH, 19 Mei – Kelulusan Israel untuk membina sebuah kompleks pertahanan baharu di tapak bekas ibu pejabat Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) di Baitulmuqaddis Timur merupakan “pelanggaran serius undang-undang antarabangsa,” menurut Kementerian Luar Palestin pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian Luar Palestin menyifatkan kelulusan pembinaan kompleks pertahanan di tapak bekas ibu pejabat UNRWA sebagai pelanggaran serius undang-undang antarabangsa.
  • Penukaran ibu pejabat UNRWA kepada kemudahan ketenteraan menggugat sistem perundangan antarabangsa serta operasi dan imuniti PBB di wilayah diduduki.
  • Rancangan Israel termasuk muzium tentera, pejabat pengambilan tentera dan pejabat menteri pertahanan, diluluskan kabinet Israel menurut media Israel.
  • Israel merobohkan beberapa bangunan ibu pejabat UNRWA pada Januari selepas merampas tapak hujung 2025, tindakan dikecam sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Kementerian itu dalam satu kenyataan menegaskan bahawa tindakan menukar ibu pejabat UNRWA kepada kemudahan ketenteraan dan keselamatan Israel “mewujudkan satu duluan berbahaya yang mengancam sistem perundangan antarabangsa serta secara langsung menjejaskan asas undang-undang yang mengawal operasi PBB dan institusinya serta imuniti mereka di wilayah yang diduduki.”

“Pembinaan kemudahan Israel di atas runtuhan ibu pejabat UNRWA mencerminkan dasar pemaksaan keadaan secara sepihak dan mempunyai implikasi serius,” menurut kenyataan tersebut.

Rejim Israel dilaporkan, merancang untuk membina kompleks pertahanan baharu merangkumi muzium tentera Israel, pejabat pengambilan tentera dan pejabat menteri pertahanan, dan telah diluluskan kabinet Israel pada Ahad lalu, menurut media Israel.

Pada Januari lalu, Israel merobohkan beberapa bangunan dalam kawasan ibu pejabat UNRWA selepas merampas tapak itu pada penghujung 2025, satu tindakan yang dikecam agensi berkenaan sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Israel menganggap seluruh Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya, namun tuntutan itu tidak diiktiraf masyarakat antarabangsa, manakala PBB menganggap Baitulmaqdis Timur sebagai wilayah yang diduduki.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.