Pelayaran kapal persiaran MV Hondius tamat, 27 termasuk 25 kru diarah jalani kuarantin

Kapal persiaran MV Hondius dijangka tiba di pelabuhan Rotterdam dan semua kru kapal akan menjalani pemeriksaan kesihatan/ Foto AFP

ROTTERDAM, 18 Mei – Kapal persiaran MV Hondius yang menjadi perhatian antarabangsa susulan penularan wabak maut Hantavirus menamatkan pelayarannya di Rotterdam hari ini, dengan baki kru kapal dijangka menjalani kuarantin selama beberapa minggu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Terdapat 27 individu masih berada di atas kapal termasuk 25 kru dan dua petugas perubatan.
  • Tiga penumpang disahkan meninggal dunia akibat jangkitan Hantavirus.
  • WHO berkata ini bukan permulaan pandemik dan risiko awam rendah tetapi tempoh inkubasi berkemungkinan beberapa minggu.
  • Setakat ini enam kes disahkan, satu disyaki dan satu lagi kes di Kanada menunggu pengesahan.

Kapal milik syarikat Belanda, Oceanwide Expeditions itu dilaporkan berlabuh di pelabuhan Rotterdam sekitar pukul 10 pagi semalam waktu tempatan, menurut pihak berkuasa Belanda.

Ketika ini, seramai 27 individu masih berada di atas kapal berkenaan membabitkan 25 kru serta dua petugas perubatan.

MV Hondius mencetuskan kebimbangan global selepas tiga penumpang disahkan meninggal dunia akibat jangkitan Hantavirus, virus jarang berlaku yang sehingga kini tidak mempunyai vaksin atau rawatan khusus.

Bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan situasi itu tidak menunjukkan berlakunya gelombang pandemik baharu seperti COVID-19 dan risiko penularan kepada orang ramai adalah rendah.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, setakat ini tiada petunjuk bahawa dunia sedang berdepan permulaan wabak berskala besar.

Namun, beliau memberi amaran tempoh inkubasi Hantavirus boleh mengambil masa beberapa minggu, sekali gus tidak menolak kemungkinan kemunculan kes baharu dalam kalangan individu yang berada di atas kapal tersebut.

Setakat ini, sumber rasmi merekodkan enam kes Hantavirus sudah disahkan, selain satu lagi kes disyaki positif. Sebuah kes di Kanada turut dilaporkan positif secara sementara, namun masih menunggu pengesahan lanjut.

Sejak MV Hondius tiba di Kepulauan Canary pada 10 Mei lalu, lebih 120 penumpang dan kru telah dipindahkan sama ada pulang ke negara masing-masing atau dibawa ke Belanda untuk pemantauan lanjut.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang wanita warga Perancis berusia 65 tahun dilaporkan mula mengalami simptom ketika penerbangan pulang dan kini berada dalam keadaan kritikal di sebuah hospital di Paris selepas disahkan dijangkiti Hantavirus.

Dua lagi individu, masing-masing warga Belanda dan Britain, turut dibawa ke hospital di Belanda untuk rawatan segera.

Kedua-duanya dilaporkan berada dalam keadaan stabil, manakala warga Britain terbabit telah dibenarkan pulang bagi menjalani pengasingan diri.

Sementara itu, semua individu lain yang dipindahkan ke Belanda didapati negatif Hantavirus, dengan sebahagian masih menjalani kuarantin manakala selebihnya sudah pulang ke negara asal masing-masing.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.