
KUALA LUMPUR, 22 Oktober – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan Geng Yunaa yang disyaki terbabit dalam kegiatan pelacuran dan pemerdagangan manusia, termasuk eksploitasi seksual kanak-kanak, menerusi Op Angel di Lembah Klang.
- Sembilan ahli kumpulan dirujuk untuk didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan, jika sabit hukuman penjara lima hingga 20 tahun.
- Tujuh suspek berusia 18 hingga 44 tahun ditahan; dua lagi sedang menjalani tahanan bagi kes berasingan.
- Kumpulan dipercayai aktif sejak awal 2024, dikaitkan dengan 17 kes pelacuran dan eksploitasi seksual.
- Kumpulan merekrut remaja, warga asing dan kanak-kanak untuk pelacuran; guna Telegram, bayaran RM200 hingga RM350 setiap perkhidmatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, tujuh suspek berusia antara 18 hingga 44 tahun ditahan, manakala dua lagi ahli kumpulan sedang menjalani tahanan di Penjara Kajang dan Sekolah Henry Gurney, Melaka bagi kes berasingan.
Beliau berkata, kumpulan yang dipercayai aktif sejak awal 2024 itu dikaitkan dengan 17 kes jenayah pelacuran dan eksploitasi seksual.
“Siasatan mendapati kumpulan berkenaan merekrut remaja tempatan, warga asing dan kanak-kanak bawah umur untuk dieksploitasi bagi tujuan pelacuran di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
Kumpulan itu dipercayai menggunakan aplikasi Telegram untuk mendapatkan pelanggan, dengan bayaran antara RM200 hingga RM350 bagi setiap perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Datuk M. Kumar berkata, polis menganggarkan kegiatan itu mampu menjana pendapatan kira-kira RM15,000 sehari atau RM5.4 juta setahun.
Dalam operasi itu, polis turut merampas 14 telefon bimbit, 33 kotak kondom, enam kotak ubat pencegah kehamilan, tuala dan gel pelincir.
Menurut Datuk M. Kumar lagi, kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara yang bersetuju supaya sembilan ahli kumpulan itu didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun.
Kesemua sembilan individu dijadualkan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 23 Oktober ini.
PDRM turut mengesan seorang lagi ahli kumpulan yang masih bebas dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.