
LABUAN, 22 Oktober – Tiga premis yang mengubah suai ruang pejabat menjadi bilik sewa bakal dikenakan notis menghapuskan bahaya kebakaran selepas dikenal pasti mempunyai isu keselamatan dalam Operasi Bersepadu Bilik Sewa Sarang Burung di Labuan.
- Premis diperiksa tidak mempunyai tangga keluar mencukupi dan sistem perlindungan kebakaran dalam keadaan tidak baik.
- Notis dikeluarkan mengikut Seksyen 8 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 kerana pengubahsuaian bangunan tanpa kelulusan.
- Operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi dan akan diteruskan bagi mengenal pasti premis berpotensi mengancam keselamatan penghuni.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, Abd Rahman Ali berkata, pemeriksaan mendapati premis berkenaan tidak mempunyai tangga keluar yang mencukupi, selain sistem perlindungan kebakaran yang tidak berada dalam keadaan baik.
Beliau berkata, notis itu akan dikeluarkan mengikut Seksyen 8 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 susulan pengubahsuaian bangunan tanpa kelulusan yang boleh menyukarkan penghuni menyelamatkan diri sekiranya berlaku kebakaran.
“Akta 341 kita boleh melihat kepada Seksyen 2 lah, dibawah tafsiran Bahaya Kebakaran, di mana pengubahsuaian bangunan yang tidak diluluskan telah di dibuat.
Begitu juga dari segi penambahan, sepatutnya pejabat tetapi dibuat bilik-bilik yang menyebabkan penyelamatan diri penghuni yang tinggal di sana tu adalah menjadi sukar,” katanya ketika ditemui media di sini.
Operasi bersepadu itu melibatkan 40 anggota dan pegawai daripada JBPM, Perbadanan Labuan, Jabatan Imigresen Malaysia serta Polis Diraja Malaysia.
Abd Rahman berkata, operasi seumpama itu akan diteruskan bagi mengenal pasti premis lain yang berpotensi mengancam keselamatan penghuni.