
KOTA BHARU, 22 Oktober – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas 1,550 biji pil disyaki dadah jenis Erimin 5 ketika rondaan di Kampung Belukar, Pengkalan Kubor, Tumpat, malam tadi.
- Anggota mengejar dua motosikal mencurigakan; penunggang melarikan diri selepas menyedari kehadiran PGA.
- Pemeriksaan di semak menemui bungkusan plastik berisi pil disyaki Erimin 5 dibungkus dalam foil aluminium merah.
- Barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tumpat; kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952; nilai dianggarkan RM31,000.
Rampasan dilakukan kira-kira pukul 11.30 malam, ketika mengesan dua motosikal dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.
Komander Briged Tenggara PGA, SAC Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, kedua-dua penunggang motosikal itu melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota PGA.
“Ketika mengejar salah sebuah motosikal yang menghala ke Kota Bharu, anggota melihat penunggangnya membuang satu objek di bahu jalan di Kampung Belukar menghala ke Pengkalan Kubor.
“Pemeriksaan di kawasan semak berhampiran menemukan bungkusan plastik berwarna biru yang mengandungi 155 keping foil aluminium berwarna merah, diikat dengan gelang getah oren, berisi 1,550 biji pil disyaki Erimin 5,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah beliau, nilai rampasan 1,550 biji pil dadah jenis Erimin 5 itu kira-kira bernilai RM31,000.
Kesemua barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.