Indonesia terima tambahan jet pejuang Rafale

Majlis penyerahan aset ketenteraan termasuk enam jet pejuang Rafale buatan Perancis kepada pihak tentera Indonesia/ REUTERS

JAKARTA, 18 Mei – Indonesia akan terus memperkukuh keupayaan pertahanannya ketika kerajaan menyerahkan beberapa aset ketenteraan termasuk enam jet pejuang Rafale buatan Perancis kepada pihak tentera negara itu pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Presiden Prabowo mempengerusikan majlis penyerahan dan meninjau peralatan termasuk pesawat Dassault Falcon 8X dan Airbus A400M.
  • Jakarta menandatangani perjanjian AS$8.1 bilion pada 2022 untuk pemerolehan 42 jet Rafale ketika Prabowo jadi Menteri Pertahanan.
  • Kerajaan anggap pemodenan aset pertahanan sebagai pelaburan strategik untuk menjaga kedaulatan, maruah dan kesiapsiagaan negara.
  • Prabowo, bekas jeneral dan Presiden sejak 2024, menggiatkan pemodenan ketenteraan dan bertemu Macron bincang kerjasama strategik.

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mempengerusikan majlis penyerahan aset berkenaan di sebuah pangkalan tentera udara di sini, selain meninjau beberapa peralatan pertahanan yang baru diperoleh termasuk enam pesawat Dassault Falcon 8X dan dua pesawat Airbus A400M Atlas.

Jakarta sebelum ini menandatangani perjanjian bernilai AS$8.1 bilion pada 2022 ketika Prabowo masih memegang jawatan Menteri Pertahanan bagi pembelian 42 jet pejuang Rafale buatan Perancis.

Selepas majlis tersebut, Prabowo berkata Indonesia akan terus meningkatkan keupayaan pertahanan sebagai langkah pencegahan terhadap sebarang ancaman.

“Kita mesti terus meningkatkan keupayaan pertahanan sebagai langkah pencegahan. Kita tidak mempunyai kepentingan lain selain melindungi wilayah sendiri,” katanya kepada pemberita.

Landskap geopolitik global ketika ini dipenuhi ketidaktentuan dan pertahanan merupakan syarat utama bagi memastikan kestabilan negara.

Indonesia menerima kumpulan pertama tiga jet Rafale pada Januari lalu, manakala majlis pada Isnin melibatkan penyerahan tambahan tiga lagi pesawat kepada tentera, menurut jurucakap Kementerian Pertahanan Indonesia, Rico Ricardo Sirait.

Jet berkenaan penting dalam memperkukuh sistem pertahanan udara Indonesia selain menyifatkan usaha pemodenan aset pertahanan sebagai pelaburan strategik bagi melindungi kedaulatan negara.

“Kerajaan melihat pengukuhan aset pertahanan bukan sekadar pemerolehan platform tempur, tetapi sebagai pelaburan strategik untuk menjaga kedaulatan, maruah negara dan kesiapsiagaan pertahanan nasional,” katanya lagi.

Prabowo yang juga bekas jeneral tentera dan mula memegang jawatan Presiden Indonesia pada 2024, giat melaksanakan usaha pemodenan aset ketenteraan Indonesia yang semakin berusia.

Menurut kenyataan kerajaan Indonesia beliau turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, di Paris pada April lalu bagi membincangkan pengukuhan kerjasama strategik termasuk pemerolehan aset pertahanan dan pembangunan industri pertahanan.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.