PBB suarakan kebimbangan keselamatan penduduk Gaza, Tebing Barat

Foto AFP

UNITED NATIONS, 3 September – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sekali lagi menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan orang awam Palestin di Gaza dan Tebing Barat, susulan kematian kanak-kanak, kecederaan pekerja bantuan, kekurangan bekalan air serta kemusnahan sebuah komuniti Palestin.

RINGKASAN BERITA AI
  • UNICEF lapor tiga kanak-kanak terbunuh dan sekurang-kurangnya lima cedera di Gaza dalam 24 jam.
  • Pengawal rakan kemanusiaan cedera ringan; dua rumah penginapan pekerja bantuan di Deir al-Balah rosak akibat serangan.
  • Kira-kira sejuta penduduk Gaza bergantung pada bekalan air Israel menghadapi kekurangan untuk hari kedua berturut-turut.
  • Komuniti Khirbet at-Taban, Masafer Yatta, diroboh, menyebabkan puluhan hilang tempat tinggal; arahan pengusiran dan keganasan peneroka meningkat.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, berkata UNICEF melaporkan tiga kanak-kanak berusia antara tiga hingga 13 tahun terbunuh di Gaza dalam tempoh 24 jam sebelumnya dan sekurang-kurangnya lima lagi cedera.

Beliau berkata, tiga pengawal yang dilantik oleh sebuah rakan kemanusiaan PBB mengalami cedera ringan dalam pertempuran bersenjata berhampiran bandar Gaza pada Selasa.

Di Deir al-Balah, dua rumah penginapan yang digunakan pekerja bantuan turut rosak akibat serangan peluru.

Dujarric berkata, kira-kira sejuta penduduk Gaza yang bergantung kepada rangkaian bekalan air Israel berdepan kekurangan bekalan air untuk hari kedua berturut-turut.

Di Tebing Barat yang diduduki, pegawai kemanusiaan turut bimbang susulan laporan bahawa tentera Israel memusnahkan komuniti Palestin Khirbet at-Taban di kawasan Masafer Yatta, Hebron, menyebabkan puluhan penduduk kehilangan tempat tinggal.

Menurut Dujarric, komuniti berkenaan antara beberapa kawasan yang berdepan arahan pengusiran dan perobohan, manakala kewujudan penempatan haram serta keganasan peneroka Israel semakin memberi tekanan kepada komuniti Palestin.

PBB menegaskan akan terus menggesa penyelesaian dua negara meskipun konflik di rantau itu masih berterusan.-REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.