
ISTANBUL, 3 September – Sebuah kapal kargo Turkiye karam di Laut Marmara berhampiran Istanbul selepas bertembung dengan sebuah kapal lain pada awal pagi Rabu.
- 10 kru dipercayai masih hilang; operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan.
- Kapal dipercayai tenggelam dalam hanya 11 minit menurut laporan menteri; pelampung dan bot penyelamat ditemui kosong.
- 14 kapal dan sebuah helikopter dikerahkan; ALSU yang tidak rosak turut membantu operasi di kawasan kedalaman kira-kira 900 meter.
Pihak berkuasa berkata, operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan bagi mengesan 10 kru kapal berkenaan yang dipercayai masih hilang.
Menurut Direktorat Maritim Kementerian Pengangkutan Turkiye, kapal tangki ALSU bertembung dengan kapal kargo Tugberk Imamoglu yang membawa muatan keluli.
“Memandangkan tiada respons diterima daripada Tugberk Imamoglu dan anak kapalnya juga tidak menjawab panggilan telefon, kapal kargo itu dipercayai telah karam,” katanya.
Insiden itu berlaku kira-kira 18 batu nautika dari daerah Silivri, di bahagian barat wilayah Istanbul.
Menteri Pengangkutan Turkiye, Abdulkadir Uraloglu, berkata kapal berkenaan tenggelam dengan sangat pantas.
“Kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.26 pagi. Jika mengambil kira laporan kapten bahawa perlanggaran berlaku pada pukul 3.15 pagi, kapal itu dipercayai tenggelam dalam tempoh hanya 11 minit,” katanya kepada pemberita.
Menurutnya, pelampung keselamatan dan sebuah bot penyelamat ditemukan di lokasi kejadian, namun kedua-duanya kosong.
“Malangnya, setakat ini tiada mangsa yang terselamat ditemukan,” katanya.
Uraloglu berkata, kesemua 10 individu di atas kapal, termasuk kapten dan sembilan kru, merupakan warganegara Turkiye.
Direktorat Maritim sebelum ini memaklumkan kapten ALSU membuat panggilan kecemasan pada pukul 3.41 pagi, memaklumkan kapalnya bertembung dengan sebuah kapal yang tidak dikenali kira-kira pukul 3.15 pagi.
Beberapa kapal penyelamat kemudian dikerahkan ke lokasi dan tiba kira-kira pukul 4.10 pagi.
Kapal kargo itu tenggelam di kawasan perairan sedalam kira-kira 900 meter.
Sebanyak 14 kapal dan sebuah helikopter terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat.
ALSU yang tidak mengalami kerosakan dalam perlanggaran itu turut membantu operasi mencari dan menyelamat.-AFP