Orang utan kebuluran diselamatkan dari hutan terbakar

Pegawai Agensi Pemuliharaan Sumber Asli dan Yayasan Orang Utan Antarabangsa memeriksa seekor orang utan selepas diselamatkan daripada kebakaran hutan di wilayah Kalimantan Tengah, Borneo/ Foto AFP

JAKARTA, 15 Oktober – Seekor orang utan betina yang dipercayai mengalami kebuluran diselamatkan pada Rabu dari kawasan hutan yang musnah akibat kebakaran di Pulau Borneo, Indonesia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebakaran melanda Sumatera, Borneo dan Papua, menyebabkan jerebu tebal merentasi sempadan ke Malaysia dan Singapura.
  • Operasi merupakan sebahagian usaha menyelamatkan ratusan haiwan terjejas akibat kebakaran hutan.
  • Haiwan dibius dan diturunkan menggunakan jaring bagi membolehkan pasukan menangkapnya dengan selamat.
  • Pemeriksaan awal menunjukkan tiada kecederaan atau masalah pernafasan, tetapi ukuran lilitan abdomen menunjukkan kebuluran.

Operasi itu sebahagian daripada usaha menyelamatkan ratusan haiwan yang terjejas akibat kebakaran hutan yang melanda negara berkenaan.

Indonesia sejak beberapa minggu lalu bergelut mengawal kebakaran yang memusnahkan sebahagian kawasan di pulau Sumatera, Borneo dan Papua, sekali gus menyebabkan jerebu tebal merentasi sempadan hingga ke Malaysia dan Singapura.

Ketua agensi sumber asli tempatan, Muriansyah berkata, haiwan itu ditemukan di kawasan hutan terbakar di wilayah Kalimantan Tengah, di bahagian Borneo milik Indonesia.

“Kami amat mengesyaki orang utan itu sedang mencari makanan sebelum ditemukan penduduk, yang kemudian melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita.

Orang utan yang dianggarkan berusia sekitar 20 tahun itu kemudian dibawa ke kemudahan agensi berkenaan.

Menurut wartawan AFP yang berada di lokasi, haiwan itu dibius bagi membolehkan pasukan penyelamat menangkapnya dengan selamat. Orang utan berkenaan kemudian diturunkan dari atas pokok menggunakan jaring.

Pemeriksaan awal mendapati orang utan betina itu tidak mengalami kecederaan dan tidak menunjukkan tanda-tanda masalah pernafasan, kata petugas perubatan Yayasan Orang Utan Antarabangsa (OFI), Ichlasul Khaerul.

Bagaimanapun, berdasarkan ukuran lilitan abdomen, orang utan yang dinamakan ‘Ira’ itu dipercayai mengalami kebuluran.

Jurucakap Kementerian Perhutanan Indonesia memaklumkan, setakat 8 Oktober, sebanyak 232 haiwan liar, termasuk 76 monyet ‘proboscis’ dan 71 orang utan telah diselamatkan di Borneo.

Orang utan dikategorikan sebagai spesies yang terancam kritikal.

Menurut kumpulan pemuliharaan WWF, kira-kira 104,000 ekor masih hidup di Borneo dan Sumatera, berbanding lebih 230,000 ekor satu abad lalu.

Bulan lalu, Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) memberi amaran bahawa kebakaran sedang memusnahkan habitat yang menempatkan 52 peratus populasi orang utan di Borneo. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.