
TEHRAN, 4 Mac– Mojtaba Khamenei, anakanda kepada mendiang Pemimpin Tertinggi Iran, dilaporkan terselamat dalam serangan udara Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang meragut nyawa ayahandanya, Ayatollah Ali Khamenei.
- Mojtaba kini dilihat oleh pimpinan Iran sebagai calon pengganti berpotensi kepada Pemimpin Tertinggi yang terkorban.
- Beliau ulama berpangkat sederhana dengan hubungan erat bersama Kor Pengawal Revolusi Iran yang berpengaruh.
- Sudah lama dianggap tokoh berpendirian tegar dan calon utama untuk meneruskan kepimpinan ulama Iran.
Dua sumber Iran memaklumkan kepada Reuters pada Rabu bahawa Mojtaba kini dilihat oleh pihak pimpinan sebagai pengganti berpotensi kepada ayahandanya.
Beliau merupakan seorang ulama berpangkat sederhana yang mempunyai hubungan erat dengan Kor Pengawal Revolusi Iran yang elit.
Sebagai seorang tokoh berpendirian tegar, Mojtaba adalah antara individu paling berpengaruh dalam kepimpinan ulama Iran dan telah lama dianggap sebagai calon utama bagi mewarisi jawatan tersebut.
“Beliau (Mojtaba) masih hidup beliau tidak berada di Teheran sewaktu Pemimpin Agung terbunuh,” jelas salah seorang sumber berkenaan.
Ayatollah Ali Khamenei terkorban pada Sabtu selepas AS dan Israel menyerang beberapa sasaran di seluruh Iran, yang turut mengorbankan sebilangan pegawai tentera serta tokoh-tokoh berpengaruh yang lain.
Media rasmi Iran mengumumkan kematian Khamenei pada awal pagi Ahad.
Seorang pegawai kanan Israel memaklumkan kepada Reuters bahawa jasad pemimpin Iran itu telah ditemukan manakala Presiden AS, Donald Trump menyatakan bahawa AS telah bekerjasama rapat dengan Israel untuk menyasarkan pemimpin yang telah menerajui Iran sejak tahun 1989 tersebut. -REUTERS