
FUJAIRAH, 4 Mac – Aktiviti pengisian bahan api di Fujairah – hab bekalan bahan api utama di Emiriah Arab Bersatu – perlahan susulan kebakaran yang berlaku pada Selasa (3 Mac), sementara permintaan di hab pengisian lain termasuk Singapura dijangka meningkat.
- Kebakaran di zon industri minyak Fujairah melambatkan operasi pengisian bahan api.
- Konflik Asia Barat dan serangan ke atas Iran menggangu penghantaran bahan api serantau.
- Kenaikan harga bahan api dicetuskan oleh gangguan bekalan di Fujairah.
- Transit melalui Selat Hormuz hampir terhenti selepas beberapa kapal terjejas.
Kebakaran berkenaan menyebabkan kepulan asap hitam tebal, kelihatan dari zon industri minyak itu yang ketika ini terus bergelut dengan konflik yang semakin meruncing.
Konflik di Asia Barat susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran turut mengganggu penghantaran bahan api di rantau itu, sekali gus mendorong kenaikan harga di Fujairah.
Transit melalui Selat Hormuz antara Iran dan Oman, yang membawa sekitar satu per lima daripada minyak global serta sejumlah besar gas asli cecair, hampir terhenti selepas beberapa kapal di kawasan itu terjejas.
Fujairah terletak di pantai timur Emiriah Arab Bersatu, berhampiran pintu masuk Selat Hormuz.- REUTERS