Loji kuasa Gaza dijangka kembali beroperasi selepas terhenti lebih dua tahun

Penduduk Palestine mendapatkan air dari paip awam di Kem Pelarian Jabalia Gaza/Foto AFP

BANDARAYA GAZA /ISTANBUL, 24 Januari – Loji kuasa tunggal di Gaza dijangka beroperasi semula selepas ditutup lebih dua tahun akibat serangan genosid dan sekatan Israel, kata Ketua Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza pada Sabtu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Loji kuasa tunggal Gaza dijangka beroperasi semula selepas ditutup lebih dua tahun akibat serangan dan sekatan.
  • Kerjasama sedang berjalan dengan pembekal tenaga dan usaha antarabangsa termasuk tenaga suria untuk memulihkan bekalan.
  • Tiada butiran terperinci diberikan mengenai mekanisme atau garis masa pemulihan bekalan elektrik.
  • Kerosakan besar ke atas infrastruktur elektrik dan kekurangan bahan api menyebabkan impak serius kepada hospital dan perkhidmatan.

“Penduduk Semenanjung Gaza, kami membawakan berita gembira bahawa terdapat jaminan dan kesediaan untuk loji penjanaan kuasa menyambung semula operasinya,” kata Ali Shaath menerusi platform media sosial Facebook.

Beliau berkata: “Di samping usaha dengan pihak antarabangsa mengenai tenaga suria, kami sedang bekerjasama dengan pembekal tenaga elektrik untuk memulihkan bekalan secepat mungkin.”

Bagaimanapun, Shaath tidak memberikan butiran terperinci mengenai cara bekalan elektrik akan dipulihkan, mekanisme yang terlibat, atau garis masa bagi proses berkenaan.

Sejak bermulanya genosid oleh Israel pada Oktober 2023, Israel telah memutuskan bekalan elektrik ke Gaza dan menyekat kemasukan bahan api yang diperlukan untuk mengendalikan loji kuasanya, meskipun perjanjian gencatan senjata telah berkuat kuasa sejak Oktober lepas.

Sebelum tercetusnya genosid, bekalan elektrik yang tersedia di Semenanjung Gaza dianggarkan sekitar 212 megawatt, iaitu kurang daripada separuh daripada kira-kira 500 megawatt yang diperlukan bagi memastikan bekalan kuasa 24 jam.

Kekurangan bekalan elektrik di Semenanjung Gaza telah memberikan kesan malapetaka di seluruh wilayah itu, terutamanya menjejaskan penyedia perkhidmatan penting dan hospital.

Sepanjang dua tahun genosid berlaku, Israel turut menyasarkan rangkaian elektrik dengan memusnahkan kira-kira 5,080 kilometer talian kuasa dan 2,285 transformer pengagihan elektrik atas talian dan bawah tanah, menurut pejabat media Gaza. Jumlah kerugian dalam sektor elektrik Gaza dianggarkan mencecah kira-kira US$1.4 bilion. – BERNAMA-ANADOLU