
BRUSSELS, 8 November- Lima negara Kesatuan Eropah (EU) termasuk Jerman, menggesa Brussels mempercepatkan rundingan berhubung penyertaan United Kingdom (UK) dalam pasaran elektrik Eropah.
- Sidang kemuncak EU-UK 20 November akan membincangkan mobiliti belia, peraturan sanitari makanan, dan pertukaran kuota pelepasan karbon.
- Penyertaan UK dalam pasaran elektrik boleh menjadikan Laut Utara hab tenaga bersih terbesar menerusi projek tenaga angin.
- Perjanjian elektrik dijangka tingkatkan keselamatan tenaga Eropah dan ekonomi berdaya saing, namun isu bayaran kemasukan masih perlu diselesaikan.
Gesaan itu terkandung dalam satu surat dilihat AFP pada Sabtu.
Satu sidang kemuncak membabitkan EU-UK dijadual berlangsung pada 20 November ini di Brussels, selepas Perdana Menteri, Andy Burnham menyatakan komitmen untuk merapatkan semula hubungan negara itu dengan blok berkenaan, 10 tahun selepas referendum Brexit.
Antara perbincangan yang dijadual dibincangkan merangkumi mobiliti golongan belia, penyederhanaan peraturan sanitari bagi produk makanan dan pertukaran kuota pelepasan karbon.
Bagaimanapun, Jerman, Belgium, Belanda, Denmark, dan Luxembourg mahu sidang kemuncak itu memberikan momentum baharu kepada pasaran elektrik Eropah.
Menurut negara-negara berkenaan, penyertaan UK dalam pasaran bakal mengubah rantau Laut Utara menjadi hab tenaga bersih terbesar dunia, didorong pembangunan projek-projek tenaga angin.
“Perjanjian sedemikian akan meningkatkan keselamatan tenaga Eropah dan menyumbang kepada ekonomi berdaya saing yang berpaksikan akses kepada tenaga bersih dan mampu milik,” katanya.
Demikian menurut surat yang ditujukan kepada Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen dan Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa.
Bagaimanapun, beberapa perkara masih perlu diselesaikan, termasuk bayaran kemasukan atau ‘entry fee’ yang perlu dibayar UK bagi menyertai pasaran elektrik Eropah. -AFP