
MEXICO CITY, 17 NOvember – Letupan akibat pengumpulan gas di kawasan kejiranan Pensil, daerah Miguel Hidalgo, mengorbankan seorang individu, manakala empat lagi cedera dan tujuh kediaman mengalami kerosakan pada Isnin.
- Letupan disahkan bermula di sebuah premis di Lago Peypus dan turut menjejaskan beberapa kediaman berhampiran.
- Beberapa kediaman rosak struktur; perobohan dirancang, penduduk menunggu kebenaran ambil barangan peribadi.
- Pasukan perlindungan awam, keselamatan dan tentera kawal kawasan; forensik menyiasat, bantuan sedang disalurkan kepada penduduk terjejas.
Daripada jumlah itu, empat kediaman mengalami kerosakan struktur yang memerlukan kerja-kerja perobohan, sementara penduduk masih menunggu kebenaran untuk mengambil barangan peribadi dari rumah masing-masing.
Insiden itu menyebabkan sebuah bangunan runtuh dan pihak berkuasa turut menjalankan pemeriksaan forensik di lokasi kejadian.
Setiausaha Pengurusan Risiko Komprehensif dan Perlindungan Awam Mexico City, Myriam Urzua mengesahkan letupan berlaku di sebuah premis di Lago Peypus sebelum menjejaskan beberapa kediaman berhampiran.
Beliau turut mengesahkan seorang individu maut di lokasi kejadian, manakala beberapa mangsa yang cedera dibawa ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan.
“Kerja-kerja yang diperlukan sedang dilaksanakan bagi membolehkan proses perobohan kediaman berisiko tinggi ini dimulakan esok atau lusa,” katanya sambil memaklumkan bantuan turut disalurkan kepada penduduk terjejas.
Sementara itu, seorang penduduk setempat, Beatriz Ordonez berkata, beliau sempat melihat mangsa beberapa minit sebelum letupan berlaku.
“Saya masih terkejut. Lima minit sebelum kejadian, ketika saya berada di halaman, saya nampak dia (mangsa) masuk ke kawasan itu,” katanya.
Anggota Perlindungan Awam, pasukan keselamatan dan tentera kini mengawal kawasan kejadian bagi memastikan keselamatan penduduk.
Pada masa sama, pasukan forensik daripada pejabat pendakwa raya menjalankan siasatan di lokasi, manakala penduduk kediaman terjejas tidak dibenarkan memasuki rumah masing-masing berikutan risiko kerosakan struktur.- VIORY