
LOS ANGELES, 29 Mei -Lapan orang dilaporkan maut dan tiga masih hilang akibat tumpahan bahan kimia di sebuah kilang kertas di barat laut Amerika Syarikat, menurut pihak berkuasa pada Khamis.
- Tangki 900,000 gelen "white liquor" pecah di kilang kertas Nippon Dynawave Packaging semasa pertukaran syif awal pagi.
- "White liquor" ialah larutan beralkali tinggi mengandungi natrium hidroksida dan natrium sulfida, digunakan dalam proses menghasilkan pulpa kertas.
- Pihak berkuasa jamin bekalan air dan kualiti udara selamat; EPA tidak mengesan hidrogen sulfida, sementara operasi mencari mangsa diteruskan.
Insiden itu berlaku selepas sebuah tangki besar yang menyimpan puluhan ribu gelen bahan kimia berbahaya runtuh di kilang berkenaan di Longview, Washington pada Selasa.
Ketua Bomba Jabatan Bomba Longview, Brad Hannig berkata enam daripada sembilan mangsa terlibat telah ditemukan setakat ini.
“Kami masih bekerjasama dengan pihak koroner bagi memaklumkan kepada keluarga mangsa,” katanya dalam sidang media.
Kemalangan di syarikat Nippon Dynawave Packaging itu berlaku semasa pertukaran syif awal pagi apabila tangki berkapasiti 900,000 gelen yang mengandungi bahan dikenali sebagai “white liquor” pecah.
“White liquor” ialah larutan beralkali tinggi yang mengandungi natrium hidroksida dan natrium sulfida, digunakan dalam proses menghancurkan serpihan kayu untuk menghasilkan pulpa kertas.
Hannig berkata pasukan penyelamat kini berdepan persekitaran operasi yang aktif dan berbahaya dalam usaha mencari baki mangsa yang masih hilang.
Pihak berkuasa turut memberi jaminan bahawa bekalan air minuman dan kualiti udara di kawasan sekitar tidak tercemar akibat insiden itu.
Pengarah Kerja Raya Longview, Chris Collins berkata bekalan air di bandar tersebut selamat digunakan.
Sementara itu, pegawai Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA), Brooks Stanfield berkata pemantauan yang dijalankan tidak mengesan hidrogen sulfida atau bahan pencemar udara lain yang membimbangkan. – AFP