Roket Blue Origin meletup ketika ujian enjin di Florida

Foto REUTERS

FLORIDA, 29 Mei -Roket tanpa kru New Glenn milik syarikat Blue Origin meletup di tapak pelancarannya di Florida pada Khamis ketika menjalani ujian enjin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Insiden itu menjadi tamparan besar kepada syarikat angkasa lepas milik Jeff Bezos.
  • Blue Origin sahkan mengalami 'anomali' semasa ujian hot-fire; semua kakitangan dikenal pasti selamat.
  • NASA maklum tentang kejadian; Blue Origin diberi kontrak US$188 juta untuk hantar rover ke Bulan.

Insiden itu sekali gus menjadi tamparan besar kepada syarikat angkasa lepas milik Jeff Bezos berkenaan.

Menurut pihak berkuasa, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam insiden berkenaan.

Roket itu dilaporkan mula menyala di tapak pelancaran sekitar 9.00 malam waktu tempatan sebelum meletup dan menghasilkan bebola api besar.

Blue Origin dalam kenyataan di platform X memaklumkan syarikat itu mengalami “anomali”, istilah yang lazim digunakan syarikat roket bagi menggambarkan kegagalan pelancaran atau letupan.

“Kami mengalami anomali semasa ujian hot-fire hari ini. Semua kakitangan telah dikenal pasti selamat dan kami akan memberikan perkembangan lanjut sebaik memperoleh maklumat tambahan,” menurut kenyataan itu.

Ujian hot-fire merujuk kepada proses menghidupkan enjin roket ketika ia masih berada dan diikat di tapak pelancaran.

Pentadbir NASA, Jared Isaacman berkata agensi itu maklum mengenai insiden berkenaan.

Awal minggu ini, NASA menganugerahkan kontrak bernilai US$188 juta kepada Blue Origin bagi menghantar rover ke permukaan bulan menggunakan pendarat kargo tanpa kru Mark 1 sebagai sebahagian daripada misi penerokaan bulan Artemis.

Jeff Bezos menerusi hantaran di X berkata masih terlalu awal untuk mengetahui punca sebenar insiden itu.

“Hari yang amat sukar, namun kami akan membina semula apa yang perlu dan kembali meneruskan penerbangan. Ia berbaloi,” katanya. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.