Korea Utara dakwa Seoul ceroboh ruang udara guna dron

Agensi berita rasmi Korea Utara, Korean Central News Agency, mendedahkan imej dron yang didakwa dihantar Korea Selatan pada 27 September 2025.

SEOUL 10 Januari – Korea Utara mendakwa Korea Selatan sekali lagi menerbangkan dron ke dalam wilayahnya bulan ini bagi tujuan pengintipan, namun dakwaan itu dinafikan Seoul.

RINGKASAN BERITA AI
  • Korea Utara mendakwa menjejaki dan menembak jatuh dron merentasi daerah Ganghwa yang membawa peralatan pemantauan.
  • Analisis serpihan mendapati rakaman sasaran penting termasuk kawasan sempadan Korea Utara.
  • Korea Selatan menafikan rekod penerbangan dan berkata dron bukan model tentera mereka.
  • Presiden Lee arah siasatan, manakala Korea Utara memberi amaran tindakan akan diambil jika pencerobohan berterusan.

Jurucakap tentera Korea Utara berkata pihaknya menjejaki sebuah dron yang bergerak ke arah utara merentasi daerah Ganghwa di Korea Selatan pada awal Januari sebelum menembaknya jatuh berhampiran bandar Kaesong di Korea Utara.

Beliau berkata peralatan pemantauan dipasang pada dron berkenaan, dengan analisis serpihan mendapati ia menyimpan rakaman sasaran penting Korea Utara termasuk kawasan sempadan.

Korea Selatan bagaimanapun memaklumkan tiada rekod penerbangan sedemikian, manakala Menteri Pertahanan Ahn Gyu-back berkata dron yang dirujuk Pyongyang bukan model yang digunakan oleh tentera Korea Selatan.

Kementerian Pertahanan Korea Selatan memaklumkan Presiden Lee Jae Myung telah mengarahkan siasatan dijalankan berhubung dakwaan itu.

Daerah Ganghwa, yang terletak di barat laut Seoul, merupakan antara wilayah Korea Selatan yang paling hampir dengan sempadan Korea Utara.

Korea Utara menyifatkan rakaman dron itu sebagai bukti jelas pencerobohan ruang udaranya bagi tujuan pengawasan dan peninjauan, serta mendakwa kejadian berkenaan mirip insiden pada September lalu berhampiran bandar Paju.

Jurucakap tentera Korea Utara memberi amaran Korea Selatan akan menanggung akibat sekiranya pencerobohan seumpama itu berterusan.-AFP