Kebakaran hutan terbesar di Sepanyol tahun ini masih belum terkawal

Kebakaran hutan besar di utara Madrid / Foto fail REUTERS

MADRID, 22 Julai – Lebih 600 anggota bomba dan tentera, dibantu 29 pesawat pemadam kebakaran, bertungkus-lumus memadamkan kebakaran hutan besar di utara Madrid yang memasuki hari keenam pada Selasa, dalam apa yang disifatkan pihak berkuasa sebagai antara operasi paling mencabar pernah dihadapi negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebakaran terbesar tahun ini memusnahkan kira-kira 30,000 hektar dan memaksa sekitar 1,200 penduduk dipindahkan.
  • Operasi padam sukar kerana kawasan jarang, belukar tebal, kemarau dan angin kencang; helikopter serta pesawat menggugurkan air.
  • Gelombang haba ketiga dan perubahan iklim meningkatkan risiko; EFFIS lapor 393,000 hektar musnah tahun ini, rekod tertinggi.

Kebakaran yang tercetus pada Khamis di wilayah Guadalajara, kira-kira 100 kilometer di utara Madrid, merupakan kebakaran hutan terbesar direkodkan di Sepanyol tahun ini.

Seramai 1,200 penduduk dipindahkan dari kediaman masing-masing, manakala api telah memusnahkan kira-kira 30,000 hektar kawasan hutan dan belukar.

Di Tamajón, sebuah perkampungan kecil yang mempunyai kira-kira 150 penduduk, kepulan asap tebal kelihatan menyelubungi kawasan pergunungan berhampiran ketika anggota bomba menjadikan lokasi itu sebagai pusat operasi memadam kebakaran.

Helikopter dan pesawat pemadam kebakaran pula bergilir-gilir menggugurkan air bagi menghalang api daripada terus merebak.

Presiden Wilayah Castilla-La Mancha, Emiliano García-Page berkata, anggota bomba berjaya menghalang api daripada mara ke bandar Soria, namun kebakaran masih belum dapat dikawal sepenuhnya.

“Ini merupakan antara kebakaran hutan paling rumit yang pernah kami tangani sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.

Menurut pihak berkuasa, kebakaran bermula di kawasan hutan terpencil sebelum merebak dengan pantas ke bukit-bukau berhampiran akibat tiupan angin kencang.

Operasi memadam kebakaran turut berdepan kesukaran berikutan kawasan itu mempunyai penempatan penduduk yang jarang, dipenuhi belukar terbiar serta mengalami kemarau yang teruk.

Situasi menjadi lebih mencabar apabila Sepanyol memasuki gelombang haba ketiga musim panas tahun ini, dengan suhu dijangka melebihi 40 darjah Celsius di sebahagian besar negara.

Pihak berkuasa memaklumkan sebanyak 34 perkampungan kecil di wilayah Castilla-La Mancha telah dipindahkan, manakala penduduk di 14 daerah lain diarahkan berada di dalam rumah bagi mengelakkan risiko terhidu asap dan bahaya kebakaran.

Awal bulan ini, Sepanyol turut berdepan antara kebakaran hutan paling buruk dalam sejarah moden apabila kebakaran di wilayah Almeria mengorbankan 13 nyawa dan memusnahkan kira-kira 7,000 hektar kawasan.

Jurucakap kerajaan, Elma Saiz berkata, negara itu kini berdepan tempoh yang amat mencabar dengan risiko kebakaran hutan kekal pada tahap yang sangat tinggi.

Menurut saintis, perubahan iklim akibat aktiviti manusia menyebabkan gelombang haba berlaku lebih kerap, berpanjangan dan lebih ekstrem, sekali gus mengeringkan tumbuh-tumbuhan serta meningkatkan risiko kebakaran hutan berskala besar.

Berdasarkan Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah (EFFIS), lebih 393,000 hektar kawasan di Sepanyol musnah akibat kebakaran sepanjang tahun 2025, jumlah tertinggi yang pernah direkodkan dalam sejarah moden negara itu. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.